KUALA LUMPUR 22 Jan - Bursa Malaysia Berhad hari ini mengumumkan Penarafan Tadbir Urus Korporat (CG) yang dinilai secara bebas bagi Syarikat Tersenarai Awam (PLC) di Pasaran Utama dan Pasaran Ace kini diterbitkan di platform MyBURSA.
Dalam kenyataan hari ini, Bursa Malaysia berkata, penambahbaikan ini membolehkan pelabur dan peserta pasaran mengakses Penarafan CG bagi setiap PLC, sekali gus meningkatkan ketelusan pasaran dan mengukuhkan daya tarikan syarikat Malaysia.
Tambah kenyataan itu lagi, penarafan ini diperoleh daripada penilaian yang dijalankan oleh Minority Shareholders Watch Group (MSWG) dalam kapasiti sebagai Badan Penarafan Domestik, menggunakan metodologi ASEAN Corporate Governance Scorecard (ACGS) yang sejajar dengan Prinsip Tadbir Urus Korporat G20/OECD, serta disokong oleh ASEAN Capital Markets Forum (ACMF).
"Ini membolehkan pelabur membandingkan standard tadbir urus merentas pasaran selaras dengan piawaian dan amalan terbaik antarabangsa," kata kenyataan itu.
Ketua Pegawai Pengawalseliaan Bursa Malaysia Julian M Hashim berkata, dengan Penarafan CG kini boleh diakses di MyBURSA, pelabur dapat menilai standard tadbir urus PLC bersama-sama titik data utama yang lain, membolehkan penilaian risiko yang lebih menyeluruh dan analisis nilai jangka panjang.
Bagi PLC pula, katanya keterlihatan Penarafan CG berfungsi sebagai penanda aras untuk penambahbaikan berterusan serta meningkatkan daya saing dalam menarik modal domestik dan global.
“Dengan mengintegrasikan Penarafan CG ke dalam MyBURSA, melengkapi Penarafan ESG yang sedia ada di platform tersebut, Bursa Malaysia bertujuan untuk meningkatkan standard tadbir urus, menggalakkan penambahbaikan berterusan dalam kalangan PLC, dan mempertingkatkan daya tarikan pasaran modal Malaysia kepada pelabur melalui penyediaan maklumat yang komprehensif, berguna untuk membuat keputusan dan boleh dibandingkan,” tambah beliau.
Penilaian MSWG adalah berdasarkan maklumat yang didedahkan kepada umum, termasuk Laporan Tahunan, Laporan Tadbir Urus Korporat, Laporan Kelestarian, serta maklumat lain yang berkaitan dan tersedia dalam domain awam.
Maklumat lanjut mengenai metodologi dan kad skor ACGS boleh didapati di laman web MSWG: https://mswg.org.my/analytics/. - DagangNews.com








