KUALA LUMPUR 26 Feb — Bursa Malaysia menggantung aktiviti jualan singkat harian (IDSS) ke atas saham MSM Malaysia Holdings Bhd bagi baki sesi dagangan hari ini selepas kaunter tersebut melanggar had ambang harga ditetapkan bursa.
Penggantungan itu dicetuskan apabila harga terakhir didagangkan jatuh melebihi 15% atau 15 sen daripada harga rujukan.
Setakat 3.16 petang, saham penapis gula itu merosot 15.71% atau 16 sen kepada 88 sen. Dalam tempoh lima hari dagangan lalu, kaunter berkenaan telah susut lebih 18.3%, mencerminkan tekanan jualan berterusan.
Menurut makluman bursa, aktiviti IDSS bagi saham MSM akan disambung semula pada 8.30 pagi, Jumaat, 27 Februari 2026.
Rugi bersih RM366.63 juta pada 4Q25
Bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2025 (4Q25), MSM mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM366.63 juta berbanding keuntungan bersih RM71.70 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Hasil turut merosot kepada RM783.08 juta daripada RM943.60 juta sebelumnya, selari dengan cabaran operasi dan tekanan margin yang dihadapi syarikat.
Prestasi kewangan yang lemah itu dilihat antara faktor yang menyumbang kepada sentimen negatif pelabur terhadap saham MSM, sekali gus mencetuskan kejatuhan harga sehingga melepasi paras ambang penggantungan IDSS. - DagangNews.com








