Bursa Malaysia fokus IPO berskala besar tahun ini - Fad'l Mohamed | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bursa Malaysia fokus IPO berskala besar tahun ini - Fad'l Mohamed

KUALA LUMPUR 5 Feb – Bursa Malaysia akan memberi tumpuan kepada tawaran awam permulaan (IPO) berskala besar tahun ini dalam usaha meningkatkan saiz dan kepelbagaian saham yang didagangkan secara aktif.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Bhd, Datuk Fad’l Mohamed berkata, keutamaan bursa ketika ini adalah untuk membina daya tarikan pasaran, antaranya dengan membawa lebih banyak IPO bersaiz besar ke pasaran tempatan.

 

“Keutamaan kami adalah untuk membina kemeriahan pasaran melalui pelbagai cara, dan salah satunya ialah dengan membawa IPO yang lebih besar ke pasaran. Kami melihat saluran IPO berskala besar yang kukuh,” katanya dalam satu temu bual bersama Bloomberg TV di Kuala Lumpur.

 

Menurut beliau, perkembangan itu disokong oleh aliran masuk dana asing yang berterusan serta pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan.

 

Bursa Malaysia turut menjangkakan penyenaraian besar, khususnya daripada sektor teknologi, dalam tempoh terdekat dan seterusnya, dengan minat yang sangat kukuh daripada syarikat asing untuk disenaraikan di Kuala Lumpur.

 

Walaupun jumlah penyenaraian baharu kekal tinggi dengan 60 IPO direkodkan tahun lalu, kebanyakannya melibatkan syarikat dengan permodalan pasaran di bawah RM1 bilion.

 

Dalam tempoh sama, pasaran tempatan turut menyaksikan penyahsenaraian beberapa syarikat berskala besar, termasuk Malaysia Airports Holdings Bhd dan FGV Holdings Bhd.

 

Fad’l berkata, kecairan domestik yang kukuh serta pangkalan pelabur institusi yang besar di Malaysia akan menjadi faktor penting dalam menyokong aktiviti pengumpulan dana dan memberi kelebihan kepada pasaran tempatan untuk menarik syarikat berskala besar.

 

Minat asing yang semakin meningkat juga dijangka memperkukuh daya tarikan pasaran saham Malaysia. Negara ini merupakan antara penerima manfaat utama aliran kepelbagaian pelaburan asing ke Asia Tenggara tahun lalu, didorong oleh minat terhadap pusat data dan sektor pembuatan termaju.

 

Pada Januari, dana global mencatat pembelian bersih saham tempatan bernilai AS$259 juta (RM1.02 bilion) selepas tiga bulan aliran keluar berturut-turut.

 

Pegangan saham asing berdasarkan permodalan pasaran turut meningkat kepada 19.2% pada Januari berbanding 19% pada Disember, menurut CIMB Securities.

 

Selain itu, Bursa Malaysia akan terus memperluaskan penawaran produk derivatif bagi menarik lebih ramai pelabur runcit bernilai tinggi.

 

Bulan lalu, bursa memperkenalkan produk niaga hadapan berasaskan indeks FBM KLCI, yang menurut Fad’l kini semakin mendapat sambutan positif dalam kalangan pelabur.