KUALA LUMPUR 25 Ogos – IJM Corporation Bhd (IJM) terus mengukuhkan kedudukannya dalam sektor pembinaan apabila jumlah buku pesanan domestik kini mencecah RM9.2 bilion, hampir menyamai paras rekod RM9.4 bilion yang dicatat pada akhir tahun kewangan 2018 (FY18).
Menurut RHB Research, pencapaian itu memberikan jaminan aliran pendapatan stabil untuk tempoh tiga tahun akan datang, sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur terhadap prospek syarikat.
Firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran pendapatan tanpa perubahan, dengan harga sasaran (TP) RM3.73 berasaskan kaedah SOP, termasuk premium ESG sebanyak 2%.
"Keputusan kewangan suku pertama FY26 IJM, yang dijadual diumum pada 27 Ogos, dijangka berada dalam lingkungan RM105 juta hingga RM120 juta, meningkat 8% hingga 23% berbanding tahun sebelumnya.
"Lonjakan ini dipacu oleh kemajuan projek pembinaan yang kini berada di fasa kemuncak S-curve," tambah firma itu lagi.
Ledakan Projek Pusat Data di Johor
Johor dijangka menampung 60% kapasiti pusat data (DC) negara menjelang 2030, sekali gus membuka peluang besar kepada kontraktor utama.
IJM kini sudah menguasai empat projek DC bernilai RM2.3 bilion di negeri itu, semakin menghampiri pencabar utama seperti Sunway Construction (TP: RM7.26, saranan BELI).
Firma itu berkata, kekuatan IJM dalam sistem bangunan berindustri (IBS) seperti Precast BubbleDeck Slab System – yang mempercepatkan tempoh pembinaan serta mengurangkan sisa – memberi kelebihan daya saing dalam projek berteknologi tinggi.
IJM juga tidak terjejas dengan arahan henti kerja projek DC di Iskandar Puteri, Johor – membuktikan piawaian pembinaan yang kukuh.
Malah, projek Iskandar Puteri Data Centre (IPDC) untuk Telekom Malaysia telah mencapai tahap “topping out” pada Julai lalu dengan kemajuan sekitar 60%–80%.
Tambahan pula, syarikat baru-baru ini meraih projek baharu bernilai RM1.4 bilion di Mukim Pulai, Johor, melibatkan pembinaan pusat data enam tingkat – sekali gus mengesahkan kepakaran IJM dalam segmen bangunan industri berimpak tinggi.
Selain itu, dua projek gudang industri bernilai RM1.2 bilion di Shah Alam dilihat mencatat kemajuan ketara dan berpotensi meningkatkan bil pembinaan pada suku pertama ini.
Kedudukan Shah Alam yang berhampiran KLIA dan Pelabuhan Klang menjadikannya hab logistik utama, termasuk pelaburan besar Maersk yang memiliki gudang 2.1 juta kaki persegi di Seksyen 26.
Justeru dengan buku pesanan hampir menyamai rekod sejarah, disokong oleh ledakan pusat data di Johor serta projek industri bernilai besar, IJM kekal dalam radar pelabur dengan saranan BELI dan TP RM3.73. - DagangNews.com








