KUALA LUMPUR 27 Feb – Pembukaan semula Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) lima tahun menerima sambutan memberangsangkan apabila menarik bidaan sebanyak RM14.6 bilion bagi tawaran RM5 bilion, menjadikan nisbah bidaan kepada tawaran (bid-to-cover) 2.92 kali — tertinggi setakat tahun ini.
Menurut Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB), permintaan hampir tiga kali ganda saiz terbitan itu mencerminkan minat pelabur yang kukuh terhadap kertas hutang kerajaan Malaysia.
Firma itu berkata, lelongan pada 26 Feb itu ditutup pada kadar hasil penutup 3.361%, sedikit lebih tinggi berbanding purata hasil berjaya 3.359%, sekali gus menghasilkan ‘tail’ yang ketat sebanyak 0.2 mata asas — petunjuk bidaan agresif.
“Status bon ini sebagai penanda aras baharu, disokong pengukuhan ringgit dan penurunan hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat, berkemungkinan menyokong permintaan pelabur,” katanya dalam nota kajian hari ini.
Bon lima tahun berkenaan menawarkan kadar kupon tetap 4.232% dan akan matang pada Jun 2031. Ia merupakan lelongan bon kerajaan keenam diadakan setakat tahun ini.
Maybank IB berkata, penemuan harga dalam pasaran ‘when-issued’ (WI) adalah aktif sejak pengumuman lelongan awal minggu ini.
Hasil WI dilaporkan mencecah paras tertinggi 3.39% sebelum beransur susut menjelang hari lelongan. Pada hari lelongan, sebut harga dibuka sekitar 3.36% hingga 3.367%, kemudian diniagakan lebih rendah pada 3.36% sebelum terus mengukuh menghampiri penutup dagangan.
Menurut firma itu lagi meskipun prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia yang lebih kukuh mencetuskan perbincangan mengenai hala tuju dasar monetari Bank Negara Malaysia, pelarasan semula pada keluk kadar ringgit setakat ini masih terhad.
Seterusnya, kerajaan dijangka membuka semula Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) 15 tahun, iaitu sukuk berdaulat patuh Syariah Malaysia.
Maybank IB menganggarkan jumlah terbitan keseluruhan RM5 bilion, terdiri daripada RM3 bilion melalui lelongan dan RM2 bilion menerusi penempatan persendirian.
Berdasarkan kalendar lelongan 2026, jumlah terbitan kerajaan yang dirancang bagi tahun ini adalah sekitar RM30 bilion, mencerminkan keperluan pembiayaan berterusan dalam persekitaran kadar faedah yang semakin stabil. - DagangNews.com








