KUALA LUMPUR 30 Jan - Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengambil tindakan penguatkuasaan, termasuk mengenakan penalti dan kompaun, terhadap dua institusi kewangan dan dua firma berikutan kegagalan mereka mematuhi keperluan pencegahan pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan (AML/CFT).
Dalam kenyataan semalam, BNM berkata institusi terlibat ialah MBSB Bank Bhd, Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Bhd (SME Bank), Boardroom Corporate Services Sdn Bhd dan Ilham Secretarial Services.
Bank pusat itu berkata ia telah mengenakan penalti monetari pentadbiran (AMP) berjumlah RM560,000 ke atas MBSB Bank kerana gagal mengemukakan laporan transaksi mencurigakan (STR) walaupun transaksi tersebut memenuhi kriteria dalaman (tanda amaran) bank berkenaan.
“Sebagai sebuah institusi pelapor (RI), MBSB Bank dikehendaki mengemukakan STR kepada Bank Negara Malaysia apabila transaksi atau percubaan transaksi pelanggan memenuhi ‘tanda amaran’ yang telah ditetapkan bagi mengesan transaksi mencurigakan.
“Langkah ini dapat mengurangkan risiko RI daripada digunakan sebagai saluran bagi pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan (ML/TF), serta aktiviti jenayah serius lain,” katanya.
MBSB Bank telah membayar RM560,000 bagi AMP yang dikenakan oleh bank pusat pada 3 Disember 2025.
Secara berasingan, BNM memaklumkan ia telah mengenakan AMP sebanyak RM460,000 ke atas SME Bank kerana gagal mengemukakan STR dengan segera.
SME Bank juga telah membayar penalti RM460,000 tersebut pada 3 Disember 2025.
Selain itu, BNM telah mengenakan kompaun sebanyak RM46,000 ke atas Boardroom Corporate Services Sdn Bhd kerana gagal mengemukakan STR dengan segera serta gagal melaksanakan usaha wajar pelanggan dipertingkatkan (EDD).
“RI juga dikehendaki melaksanakan EDD ke atas pelanggan mereka apabila risiko ML/TF dinilai lebih tinggi atau apabila perkhidmatan penama disediakan,” kata bank pusat itu, sambil menambah bahawa Boardroom telah membayar kompaun tersebut pada 16 Disember 2025.
BNM turut mengenakan kompaun sebanyak RM8,625 ke atas Ilham Secretarial Services kerana gagal mengemukakan STR dengan segera, dan syarikat itu telah membayar kompaun tersebut pada 15 Disember 2025. — BERNAMA








