KUALA LUMPUR 13 Nov – BMS Holdings Berhad, pengedar dan peruncit segmen jubin, permukaan batu, kelengkapan bilik mandi serta dapur mensasarkan untuk mengutip RM80 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO) dan penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad pada 8 Disember ini.
Dana tersebut akan digunakan bagi memperkukuh kapasiti operasi dan memperluas kehadiran runcit, sekali gus menjamin pertumbuhan mapan kepada kumpulan.
Pengarah Urusan BMS Holdings, Ang Kwee Peng, berkata pelancaran prospektus hari ini sempena penyenaraian itu merupakan satu detik penting dalam perjalanan 32 tahun syarikat daripada sebuah peruncit serantau kepada jenama nasional yang kukuh.
“IPO ini akan memperkukuh kapasiti operasi dan memperluas kehadiran runcit kami di seluruh negara. Kami mahu membawa produk permukaan moden dan berkualiti lebih dekat kepada pemilik rumah, kontraktor serta pemaju,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menambah, dana yang dikumpulkan akan digunakan untuk membina bilik pameran baharu, menubuhkan pusat pengedaran serantau, menaik taraf sistem ICT dan platform digital serta menyokong inisiatif pertumbuhan syarikat.
“Penyenaraian ini bukan sahaja peluang pengembangan strategik, malah bukti komitmen kami terhadap pertumbuhan mampan dan kecemerlangan jenama BMS,” ujarnya.
Selepas pelaksanaan IPO, BMS Holdings dijangka mengumpul RM80.08 juta, yang akan digunakan bagi:
* RM34.28 juta untuk pengembangan operasi dan pembukaan bilik pameran baharu;
* RM17 juta bagi menaik taraf kemudahan dan sistem ICT;
* RM4 juta untuk aktiviti pemasaran;
* RM18.8 juta sebagai modal kerja; dan
* RM6 juta untuk menampung kos penyenaraian.
Menurut kenyataan itu, IPO ini melibatkan penerbitan 364 juta saham baharu dan penawaran 156 juta saham sedia ada*, mewakili kira-kira 33.77% daripada jumlah saham terbitan selepas penyenaraian.
Berdasarkan harga tawaran RM0.22 sesaham, nilai pasaran BMS Holdings selepas penyenaraian dianggarkan sebanyak RM338.8 juta.
BMS Holdings yang ditubuhkan pada tahun 1993 itu, melalui anak-anak syarikatnya, terlibat dalam perniagaan runcit, borong dan jualan projek yang membabitkan pelbagai produk permukaan seperti jubin porselin dan seramik, marmar, granit, batu kapur serta batu kejuruteraan.
Turut ditawarkan ialah barangan kelengkapan bilik mandi dan dapur bagi melengkapkan pilihan pelanggan.
Setakat ini, BMS Holdings mengendalikan 20 bilik pameran di seluruh negara di bawah jenama Jubin BMS, termasuk 16 di Semenanjung Malaysia dan empat di Sarawak, disokong oleh pusat pengedaran serta kemudahan pergudangan strategik.
Menurut laporan Vital Factor Consulting Sdn Bhd, saiz pasaran jubin seramik di Malaysia bernilai RM1.38 bilion, manakala pasaran barangan kebersihan seramik berjumlah RM259 juta pada tahun 2023.
Berdasarkan hasil semasa, BMS Holdings kini memiliki anggaran 17% bahagian pasaran dalam segmen jubin seramik dan 12% dalam segmen barangan kebersihan seramik.
Dari segi prestasi kewangan, hasil Kumpulan meningkat daripada RM207.89 juta pada tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022 kepada RM320.18 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025.
Keuntungan selepas cukai pula hampir dua kali ganda kepada RM21.47 juta bagi tempoh yang sama.
Bagi tahun kewangan 2025, Johor menyumbang kira-kira 68% daripada hasil keseluruhan Kumpulan, manakala baki 32% datang daripada Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Sarawak.
Permohonan saham awam kini dibuka dan akan ditutup pada 19 November 2025 jam 5 petang. BMS Holdings dijangka disenaraikan di Pasaran ACE pada 8 Disember 2025.
Alliance Islamic Bank Berhad bertindak sebagai Penasihat Utama, Penaja, Penjamin Tunggal dan Ejen Penempatan bagi penyenaraian IPO BMS Holdings Berhad. - DagangNews.com







