Binastra berpotensi raih kontrak pakej M&E pusat data RM503 juta - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Binastra berpotensi raih kontrak pakej M&E pusat data RM503 juta - RHB Research

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 5 Feb - Binastra Corporation Bhd berpotensi untuk memperoleh kontrak baharu di bawah projek pusat data (DC) di Sri Permaisuri Kuala Lumpur berdasarkan kepakaran yang ada pada syarikat tersebut, kata RHB Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, memandangkan skop kontrak semasa melibatkan kerja-kerja bangunan utama, Binastra turut berpotensi memperoleh pakej mekanikal dan elektrikal (M&E) pada peringkat seterusnya, seperti yang berlaku sebelum ini bagi projek DC di Bukit Jalil dan Cyberjaya.

 

"Walaupun sumbangan projek pusat data kepada keseluruhan pendapatan Binastra masih sederhana berbanding kontraktor tersenarai lain, langkah agresif kumpulan menceburi segmen ini mencerminkan strategi kepelbagaian yang lebih kukuh, tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada projek hartanah kediaman.

 

"Penglibatan berterusan dalam projek pusat data, selain loji rawatan kumbahan dan projek solar, menunjukkan keupayaan Binastra untuk menembusi segmen kejuruteraan bernilai tambah tinggi," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

RHB Research berkata kemenangan kontrak DC Sri Permaisuri bernilai RM503 juta turut meningkatkan buku tempahan tertunggak Binastra kepada kira-kira RM7 bilion, bersamaan nisbah liputan buku tempahan kepada hasil sebanyak 7.4 kali berdasarkan pendapatan FY25. 

 

Keadaan ini dijangka menjadikan FY27 sebagai tahun tumpuan pelaksanaan projek sedia ada, sekali gus menyokong kestabilan aliran pendapatan kumpulan.

 

Dalam jangka sederhana, Binastra turut dilihat berpotensi meraih lebih banyak kerja menerusi fasa-fasa baki projek The Asteriaz oleh EXSIM Development di Johor Bahru, yang dianggarkan bernilai sekitar RM500 juta.

 

Setakat ini, Binastra telah mengumpul kira-kira RM1.9 bilion kontrak pusat data, merangkumi enam projek, yang membentuk sekitar 10% hingga 15% daripada keseluruhan buku pesanan kumpulan. 

 

Keupayaan ini turut diperkukuh melalui pegangan 51% dalam LF Lansen, yang menyediakan kepakaran khusus dalam sistem penyejukan pusat data, HVAC serta penyimpanan dan pengagihan tenaga terma.

 

Sehubungan itu dari sudut penilaian, RHB mengekalkan saranan “Beli” dengan harga sasaran RM2.72, mencerminkan potensi kenaikan sekitar 27%, selain hasil dividen FY27 dianggarkan sekitar 3%. 

 

Saham Binastra ketika ini diniagakan pada 13.7 kali P/E FY27, lebih rendah berbanding paras purata sektor pembinaan semasa kitaran menaik sebelum ini.

 

Bagaimanapun, antara risiko utama yang boleh menjejaskan prospek kumpulan ialah kadar pengisian semula kontrak yang lebih perlahan daripada jangkaan. - DagangNews.com