KUALA LUMPUR 11 April - Bagi mengukuhkan komitmen terhadap Malaysia sebagai hab pelaburan serantau, Bin Zayed International (BZI) menerusi Bin Zayed (S) Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura memperoleh pegangan sebanyak 28.89% dalam syarikat tersenarai di Bursa Malaysia, Turiya Bhd.
Ditubuhkan pada 1961, Turiya terlibat dalam dua sektor utama, iaitu hartanah dan bahan kimia khusus untuk industri semikonduktor. Syarikat itu mengekalkan kehadiran aktif di seluruh Malaysia dan Singapura.
Urus niaga tersebut dimuktamadkan pada 26 Mac 2025, melibatkan pembelian sebanyak 66,080,324 saham biasa daripada Khidmat Kejora Sdn Bhd.
Pengambilalihan itu menyaksikan Bin Zayed (S) Pte Ltd muncul sebagai antara pemegang saham terbesar dalam Turiya.
Pelaburan itu menandakan kemasukan rasmi pertama BZI ke dalam pasaran modal Malaysia, sekali gus mengukuhkan jejaknya di Malaysia dan rantau Asia Tenggara. Langkah itu juga mengukuhkan keyakinannya terhadap potensi besar yang terdapat dalam pasaran negara penciptaan nilai jangka panjang.
Pendekatan pelaburan BZI adalah berasaskan kepada ‘pendorong keupayaan’, selari dengan jangkaan pertumbuhan ekonomi Malaysia akan kekal stabil pada 2025, meskipun berdepan ketidaktentuan global termasuk dasar tarif Amerika Syarikat (AS) dan dinamik perdagangan antarabangsa.
Pengarah Urusan Bin Zayed International (M) Berhad, Datuk Seri Dr. Shamir Kumar Nandy berkata, pengambilalihan pegangan itu penting ekrana ia mencerminkan keyakinan terhadap potensi Turiya dan kesungguhan kumpulan terhadap prospek jangka panjang ekonomi Malaysia dan Asia Tenggara.
"Kehadiran kami ialah untuk membina, memupuk kerjasama dan mencipta nilai yang berkekalan di seluruh rantau ini.
"Sebagai sebahagian daripada strategi lebih luas, kami memberi tumpuan kepada mengenal pasti dan memupuk syarikat-syarikat yang sejajar dengan nilai teras termasuk pertumbuhan mampan, kepimpinan berwawasan, serta model perniagaan yang memenuhi keperluan komersial dan masyarakat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pengambilalihan pegangan dalam Turiya itu adalah selaras dengan strategi pelaburan BZI dalam enam sektor berimpak tinggi termasuk hartanah, tenaga mampan dan boleh diperbaharui, infrastruktur dan konsesi kerajaan, teknologi, serta perkhidmatan kewangan.
Langkah itu dijangka memperkukuh kedudukan global BZI dan membuka lebih banyak ruang untuk sinergi serta pengembangan di rantau ini.
Kekuatan asas Turiya serta penglibatannya dalam sektor masa depan menjadikannya rakan strategik ideal bagi BZI untuk memperkukuh operasi serantau.
Beliau berkata, walaupun berdepan tekanan geopolitik dalaman dan luaran termasuk tarif yang dikenakan oleh pentadbiran Trump di Amerika Syarikat, Asia Tenggara tetap dilihat sebagai antara ekonomi yang paling pesat berkembang di dunia, dengan ASEAN diramal menjadi ekonomi keempat terbesar di dunia menjelang 2030.
Katanya, dalam konteks ini, BZI sedang meletakkan dirinya sebagai pemegang taruh utama dalam transformasi rantau ini.
“Matlamat kami adalah untuk menjadi rakan strategik yang dipercayai dalam pertumbuhan di seluruh Asia Tenggara.
"Pendekatan kami berasaskan kepada penciptaan nilai jangka panjang melalui peruntukan modal yang bijak, perkongsian ilmu, dan kerjasama yang memacu kemajuan ekonomi serta pembangunan sosial,” katanya. - DagangNews.com








