Bilangan jutawan Malaysia dijangka meningkat dua kali ganda 10 tahun akan datang – HSBC | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bilangan jutawan Malaysia dijangka meningkat dua kali ganda 10 tahun akan datang – HSBC

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 14 Ogos – HSBC Bank menjangkakan bilangan rakyat Malaysia yang memiliki aset sekurang-kurangnya AS$250,000 (RM1.18 juta) akan meningkat dua kali ganda dalam dekad akan datang.

 

Ketua Kekayaan Antarabangsa dan Perbankan Premier Asia HSBC, Kai Zhang berkata, pertumbuhan berterusan ekonomi Malaysia dijangka membuka lebih banyak peluang untuk rakyat membina dan mengekalkan kekayaan.

 

“Kami menganggarkan peratusan orang dewasa di Malaysia yang memiliki sekurang-kurangnya AS$250,000 dalam kekayaan kewangan akan meningkat dua kali ganda dalam dekad akan datang.

 

 

 

 

“Namun, ia bukan sekadar tentang pertumbuhan semata-mata. Ia berkaitan dengan bagaimana pengurusan kekayaan sedang berubah, dan kami melihat pelanggan kini menguruskan kekayaan mereka dengan lebih berstrategi dan berhasrat jelas,” katanya dalam kenyataan.

 

Sementara itu, Ketua Negara Kekayaan Antarabangsa dan Perbankan Premier HSBC Malaysia, Linda Yip pula berkata, Malaysia sedang menyaksikan pertumbuhan pesat dalam segmen berpendapatan tinggi dan seiring dengan pertumbuhan itu, keperluan mereka juga berkembang.

 

“Pelanggan mewah kini mencari rumusan holistik yang membantu mereka mempercepatkan pertumbuhan kekayaan, namun pada masa sama meletakkan kesihatan dan kesejahteraan sebagai keutamaan.

 

 

 

 

 

“Ini membolehkan mereka membina, melindungi, menikmati serta memelihara kekayaan untuk dinikmati oleh generasi seterusnya,” katanya.

 

Pada 2023, laporan perunding hartanah Knight Frank mendedahkan bilangan rakyat Malaysia yang memiliki kekayaan sekurang-kurangnya AS$1 juta (RM4.6 juta) dijangka hampir berganda daripada lebih 85,000 orang pada 2022 kepada lebih 164,000 orang menjelang 2027. - DagangNews.com