Berkuat kuasa 1 Jun, pemberi kredit perlu miliki lesen, berdaftar Suruhanjaya Kredit Pengguna sebelum dibenarkan beroperasi - Amir Hamzah  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Berkuat kuasa 1 Jun, pemberi kredit perlu miliki lesen, berdaftar Suruhanjaya Kredit Pengguna sebelum dibenarkan beroperasi - Amir Hamzah 

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 2 Mac - Berkuatkuasa 1 Jun 2026, semua pemberi kredit dan perkhidmatan kredit perlu memiliki lesen atau berdaftar dengan Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) sebelum dibenarkan beroperasi susulan penguatkuasaan Akta Kredit Pengguna 2025 atau Akta 873 (AKP) bermula 1 Mac 2026.

 

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan bersetuju memberikan tempoh peralihan selama enam bulan kepada pihak industri untuk memohon lesen atau pendaftaran di bawah AKP.

 

Katanya, usaha ini adalah langkah penting Kerajaan bagi membina sistem kredit yang telus dan bertanggungjawab.

 

“Dengan penguatkuasaan Akta Kredit Pengguna 2025 dan penubuhan Suruhanjaya Kredit Pengguna, Kerajaan meneguhkan perlindungan terhadap pengguna supaya mereka tidak terdedah kepada amalan kredit yang tidak adil atau tidak beretika,” katanya dalam kenyataan har ini.

 

Amir Hamzah berkata, melalui AKP pemberi kredit seperti syarikat skim beli sekarang bayar kemudian (Buy Now Pay Later Scheme, BNPL), syarikat pemajakan (leasing), dan syarikat pemfaktoran (factoring) diwajibkan memperoleh lesen daripada SKP. 

 

Sementara itu, pemberi perkhidmatan kredit seperti agensi pemungutan hutang (debt collection), syarikat pemerolehan pinjaman atau pembiayaan terjejas (impaired loan or financing acquisition), serta agensi kaunseling dan pengurusan hutang (debt counselling and management) juga perlu berdaftar dengan SKP.

 

Amir Hamzah menambah, langkah ini bertujuan memperkukuh perlindungan pengguna, meningkatkan tahap tadbir urus industri kredit, serta memastikan amalan pemberian kredit yang lebih telus, adil dan bertanggungjawab dan profesional.

 

Akta Kredit Pengguna 2025 atau Akta 873 (AKP) telah diwartakan pada 31 Disember 2025 dan berkuat kuasa mulai 1 Mac 2026. 

 

Sejajar dengan penguatkuasaan AKP yang bertujuan memperkukuh perlindungan pengguna kredit di Malaysia, Kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP).

 

Akta ini berperanan mengawal selia pelakuan industri kredit pengguna di Malaysia secara lebih menyeluruh, bersepadu dan berkesan seperti berikut:

 

• Penyediaan kerangka kawal selia yang menyeluruh dan konsisten:

 

• Pembangunan Piawaian Kebenaran (Authorisation Standards) dan Piawaian Tingkah Laku; dan

 

• Pembangunan kerangka dan maklumat bersepadu serta berkesan bagi pemantauan, penyeliaan dan penguatkuasaan. - DagangNews.com