Belanjawan 2026: Keutamaan kepada kestabilan, tiada kejutan besar - penganalisis ekonomi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Belanjawan 2026: Keutamaan kepada kestabilan, tiada kejutan besar - penganalisis ekonomi

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 29 Sept - Belanjawan 2026 iaitu belanjawan pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) – dijangka menekankan aspek kestabilan, dengan pakar ekonomi dan penganalisis meramalkan tiada kenaikan cukai besar terhadap individu mahupun korporat, ketika Putrajaya berusaha mengekalkan keyakinan pengguna dan pelabur di tengah-tengah ketidaktentuan global serta tarif baharu Amerika Syarikat.

 

Penganalisis Penyelidikan CGS International, Jeremy Goh berkata belanjawan yang akan dibentangkan di Parlimen pada 10 Oktober ini dijangka tidak membawa kejutan dari segi cukai memandangkan kebanyakan pembaharuan utama telah diumumkan, selain defisit fiskal kekal berada di landasan untuk mencapai sasaran RMK-13.

 

Dengan pilihan raya negeri bakal berlangsung di Sabah, Melaka, Sarawak dan Johor menjelang separuh pertama 2027, beliau menjangka Belanjawan 2026 akan bersifat mesra rakyat.

 

 

 

 

 

 

 

 

“Seperti belanjawan terdahulu, bantuan tunai tambahan di bawah skim ‘Rahmah’ dijangka diumumkan, melangkaui jumlah rekod RM15 bilion yang telah diperuntukkan tahun ini,” katanya dalam satu nota penyelidikan.


 

Jeremy Goh
        Jeremy Goh

 


Beliau menambah, penjawat awam berkemungkinan menerima bonus atau kenaikan gaji antara tiga hingga tujuh peratus bermula Januari 2026, susulan petunjuk yang diberikan Ketua Setiausaha Negara baru-baru ini.

 

Langkah ini, bersama peningkatan bantuan tunai, dijangka merangsang sektor pengguna – baik barangan keperluan mahu pun pilihan – serta menyokong permintaan pasaran automotif, khususnya jenama nasional.

 

Sektor berkaitan pelancongan juga dijangka meraih manfaat dengan insentif baharu sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 yang menyasarkan rekod 35.6 juta kedatangan pelancong. Antara yang bakal mendapat kelebihan termasuk syarikat pengeluar minuman keras, Genting Malaysia, penyedia perkhidmatan kesihatan, serta REIT yang memiliki pusat beli-belah dan hotel utama.

 

Antara jangkaan lain termasuk perbelanjaan pembangunan yang kekal tinggi, peralihan insentif kenderaan elektrik (EV) kepada pengeluaran tempatan, peruntukan kesihatan yang lebih besar menuju sasaran lima peratus daripada KDNK, serta kemungkinan semakan semula levi durian runtuh ke atas kelapa sawit.

 

Goh berkata, pelaksanaan levi berperingkat terhadap pekerja asing bermula 2026 boleh memberi kesan kepada sektor intensif buruh seperti pembinaan, EMS, sarung tangan dan perladangan. Dalam sektor hartanah pula, cadangan kerajaan untuk melaksanakan model “bina-dahulu-jual” berpotensi mengubah amalan industri, walaupun penguatkuasaan mungkin mengambil masa.

 

Dari segi percukaian, Malaysia merancang memperkenalkan cukai karbon pada 2026 yang bagi sektor tenaga dijangka hanya membawa pelarasan tarif kurang dua peratus. Cukai “pro-kesihatan” ke atas minuman beralkohol dan bergula juga dijangka diperkenalkan.

 

Ketua Penyelidikan MBSB Investment Bank, Imran Yassin Yusof berkata kerajaan mungkin meneroka peluasan cukai keuntungan modal (CGT) untuk meliputi pelupusan saham tersenarai, namun perkara ini dilihat kurang berkemungkinan tanpa kajian impak yang lebih menyeluruh.

 

“Pada masa ini, CGT terpakai bagi pelupusan saham tidak tersenarai dan aset modal luar negara. Tetapi kami percaya peluasan ini mempunyai kebarangkalian rendah untuk dibentangkan dalam Belanjawan 2026 tanpa kajian impak lanjut,” katanya kepada Bernama.

 

 

Imran Yassin Yusof
                 Imran Yassin Yusof

 


Beliau berkata, antara cukai baharu lain yang mungkin dipertimbangkan termasuk cukai warisan, kenaikan cukai dosa (sin taxes) atau levi kesihatan seperti ke atas tembakau.

 

Sementara itu, ahli ekonomi Doris Liew menjangka Putrajaya akan menumpukan kepada pengukuhan pematuhan melalui e-invois, nombor pengenalan cukai dan pendigitalan, selain meningkatkan hasil bukan cukai melalui yuran serta monetisasi aset.

 

 

 

 

 

 

Mengenai cukai karbon, beliau mencadangkan pelaksanaan secara berperingkat bermula dengan syarikat tersenarai bagi meminimumkan risiko kepada daya saing.

 

Kedua-dua Liew dan Imran bersetuju bahawa kadar cukai peribadi dan korporat dijangka kekal tidak berubah, dengan tiada peluasan besar terhadap cukai jualan dan perkhidmatan (SST). - DagangNews.com