KUALA LUMPUR 8 Okt - Belanjawan 2026 akan memperkukuh perlindungan sosial dan meningkatkan daya tahan isi rumah, manakala pelaburan akan menumpukan kepada semikonduktor, peralihan tenaga, pendigitalan, syarikat pemula niaga serta industri masa depan, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata belanjawan yang akan dibentangkan pada Jumaat ini memberi penekanan kepada usaha “melindungi isi rumah daripada tekanan pada masa ini di samping meletakkan asas bagi pertumbuhan masa hadapan.”
“Bagi keluarga yang mengimbangi belanjawan bulanan, atau generasi muda rakyat Malaysia yang mencari pekerjaan pertama, ketidaktentuan bukanlah sekadar idea; ini adalah realiti hidup. Belanjawan 2026 dirangka dengan menjadikan kumpulan ini sebagai keutamaan,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan Forum Megatrends Khazanah (KMF) 2025 di sini pada Selasa.
Beliau menegaskan, belanjawan berkenaan bukan sekadar langkah yang bersifat bersendirian, sebaliknya merupakan “permulaan” kepada Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), yang akan merangka hala tuju pembangunan negara bagi tempoh 2026 hingga 2030.
“Hala tuju kita jelas. Malaysia akan melaksanakan semula pengindustrian menerusi Pelan Induk Perindustrian Baharu, menerajui semikonduktor melalui Strategi Semikonduktor Nasional, mempercepat peralihan tenaga dan memanfaatkan pendigitalan serta inovasi.
“Kesemua strategi ini berkongsi satu matlamat — untuk menjamin pekerjaan yang lebih baik, perniagaan lebih kukuh dan peluang lebih cerah untuk anak-anak kita,” katanya.
Amir Hamzah turut menambah, Belanjawan 2026 akan memperkukuh asas fiskal negara dengan mengurangkan defisit fiskal kepada 3.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini, mengurangkan kebergantungan kepada hutang serta mempertingkat tadbir urus melalui pelaksanaan Akta Tanggungjawab Fiskal 2023 dan undang-undang baharu mengenai ketelusan.
Menurut beliau, RMK13 bukan sekadar pelan ekonomi, tetapi juga merupakan rancangan untuk rakyat Malaysia.
“Dalam kalangan pekerja, ini bermakna pekerjaan yang lebih baik. Bagi isi rumah, kehidupan yang lebih mampu milik. Kepada perniagaan kecil, sokongan yang lebih kuat untuk berkembang dan bagi golongan muda, lebih banyak peluang untuk terus berada di negara ini dan mencapai kejayaan,” katanya.
Amir Hamzah turut menegaskan bahawa ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan.
“Walaupun berdepan cabaran global, Malaysia telah memaparkan daya tahan, dengan pelaburan langsung asing tertinggi yang pernah direkodkan, pengukuhan ringgit, daya saing yang semakin baik, kadar pengangguran menurun dan inflasi rendah,” katanya. - BERNAMA








