Bekas Panglima Tentera Darat mengaku tidak bersalah terima RM2.12 juta hasil aktiviti haram | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bekas Panglima Tentera Darat mengaku tidak bersalah terima RM2.12 juta hasil aktiviti haram

KUALA LUMPUR 22 Jan – Bekas Panglima Tentera Darat, Tan Sri Hafizuddiean Jantan, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap empat pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti menyalahi undang-undang berjumlah RM2.12 juta.

 

Tertuduh, 58, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

 

Berdasarkan pertuduhan, Hafizuddiean didakwa menerima wang berjumlah RM969,000, RM474,850, RM488,550 dan RM190,000, yang dimasukkan ke dalam satu akaun Bank Muamalat serta dua akaun Maybank atas namanya.

 

Kesalahan itu didakwa berlaku di Cawangan Utama Bank Muamalat di Jalan Melaka, Menara Maybank, dan Cawangan Maybank Bukit Damansara antara 2 Februari 2024 hingga 7 November 2025.

 

 

 

 

 

 

 

 

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA), yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun serta denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai kesalahan atau RM5 juta, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

 

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM300,000 dengan dua penjamin, selain memohon supaya tertuduh diarahkan melapor diri ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebulan sekali serta menyerahkan pasport sehingga kes selesai.

 

Bagaimanapun, peguam bela Aizul Rohan Anuar merayu agar jumlah jaminan dikurangkan kepada RM100,000, dengan alasan anak guamnya kini merupakan pesara dan hanya memperoleh pendapatan sekitar RM15,000 sebulan.

 

“Anak guam saya telah berkhidmat dalam angkatan tentera selama lebih 40 tahun dan kini bersara. Semua akaunnya juga telah dibekukan, dan jumlah jaminan yang terlalu tinggi seolah-olah menjurus kepada hukuman awal,” katanya.

 

Beliau menegaskan bahawa jaminan yang keterlaluan bertentangan dengan prinsip undang-undang iaitu seseorang dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.

 

 

 

 

 

 

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah menetapkan jaminan RM250,000 dengan dua penjamin dan menetapkan 30 Mac sebagai tarikh sebutan semula kes. - DagangNews.com