KUALA LUMPUR 15 Sept - Elang Wah Sdn Bhd (EWSB), pengendali perkhidmatan bas pelancongan dua tingkat terbuka KL Hop On Hop Off (KL HOHO) yang pernah meraih pelbagai anugerah, bakal memperkenalkan enam unit bas baharu rendah emisi bulan ini sebagai persediaan menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Bas berwarna-warni itu dibina khas dengan badan aloi aluminium ringan serta bumbung boleh lipat sepenuhnya di dek atas. Ia menggunakan casis RR3 keluaran pengeluar Jerman, MAN, dan dikuasakan enjin spesifikasi Euro VI berprestasi tinggi serta rendah emisi.
Bas berkapasiti 56 tempat duduk itu turut dilengkapi pelbagai ciri keselamatan moden termasuk Electronic Braking System (EBS), Anti-Slip Regulation (ASR), Anti-Lock Braking System (ABS), Electronic Stability Program (ESP) dan Tyre Pressure Monitoring System (TPMS).
Enam bas baharu ini akan beroperasi di dua laluan KL HOHO – City dan Garden – yang merangkumi lebih 40 hentian dan 60 tarikan di sekitar Kuala Lumpur dari jam 9 pagi hingga 6 petang setiap hari. Ia juga akan digunakan untuk lawatan malam KL City of Lights yang bermula jam 8 malam.


Pengarah Urusan MAN Malaysia, Marc Appelt, memuji EWSB sebagai pelanggan perintis penggunaan enjin diesel Euro VI di Malaysia.
“Keputusan EWSB melabur dalam bas Euro VI ketika Malaysia masih dalam peralihan kepada piawaian Euro V jelas menunjukkan kepemimpinan industri, visi jauh ke hadapan dan komitmen terhadap kelestarian.
"Euro VI adalah piawaian semasa bagi semua pendaftaran kenderaan berat baharu di Eropah. Selain pelepasan gas berbahaya lebih rendah, enjin diesel Euro VI menawarkan kuasa lebih tinggi, penggunaan bahan api lebih efisien dan kos operasi lebih rendah,” katanya.
Sementara itu, Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif EWSB, Tuan Syed Azhar Syed Nadzir berkata keputusan untuk membeli bas MAN buat kali pertama selepas 20 tahun adalah kerana keupayaan MAN Malaysia memenuhi keperluan mendesak syarikat itu menjelang VM2026.
“Pasukan MAN sangat responsif, mampu menyediakan casis yang tepat dan bekerjasama rapat dengan pembina badan bagi memastikan bas dapat dihantar dalam tempoh lima bulan walaupun melibatkan tahap penyesuaian tinggi.
"Kami berbesar hati dapat menawarkan pengalaman unik kepada pelanggan menerokai Kuala Lumpur dengan bas MAN baharu yang terkenal dengan kebolehpercayaan, keselamatan, kuasa dan keselesaannya,” jelas beliau.
EWSB turut merancang menambah lagi unit baharu sebagai penggantian armada menjelang suku kedua 2026 bagi menampung kedatangan pelancong yang dijangka meningkat sempena VM2026. - DagangNews.com








