KUALA LUMPUR 30 Mei - Barakah Offshore Petroleum Bhd tidak mengemukakan rayuan berhubung penyahsenaraian syarikat dari Bursa Malaysia, yang dijadual berkuat kuasa pada 4 Jun ini.
Syarikat minyak dan gas yang berstatus Nota Amalan 17 (PN17) itu memaklumkan, ia susulan pihaknya telah menggunakan semua peluang yang ada bagi memperbaiki kedudukan kewangan dan operasi syarikat, namun gagal.
"Syarikat memutuskan untuk tidak menghantar rayuan kepada Bursa Malaysia dalam tempoh yang ditetapkan, iaitu sehingga 29 Mei 2025," kata Malacca Securities Sdn Bhd bagi pihak syarikat dalam makluman di Bursa Malaysia.
Pada 22 Mei lalu, Barakah Offshore menyatakan, sahamnya akan digantung daripada dagangan pada 30 Mei 2025 dan berkemungkinan akan dinyahsenarai pada 4 Jun ini selepas gagal mendapatkan lanjutan masa untuk mengemukakan pelan pemulihan.
Dengan tiada rayuan dikemukakan sebelum tarikh akhir, proses nyahsenarai akan diteruskan mengikut peraturan Bursa Securities.
Barakah Offshore yang tersenarai di Pasaran Utama sejak November 2013, berstatus PN17 sejak Mac 2019 selepas gagal membuat bayaran kepada EXIM Bank bagi pembiayaan sebuah kapal.
Bagi tempoh sembilan bulan berakhir Mac 2025, Barakah Offshore mencatatkan keuntungan bersih RM32.56 juta, berbanding kerugian RM4.84 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Namun, hasil syarikat merosot hampir separuh kepada RM52.78 juta berbanding RM97.05 juta sebelum ini.
Sehingga akhir Mac lalu, Barakah Offshore mempunyai tunai sebanyak RM88.06 juta dan pinjaman sebanyak RM48.75 juta, meletakkan syarikat dalam kedudukan tunai bersih sebanyak RM39.31 juta. - DagangNews.com








