KUALA LUMPUR 14 Mei — Faktor ketidakpadanan berterusan antara penawaran dan permintaan dalam segmen rumah mampu milik terutamanya untuk unit berharga kurang RM300,000, kekal sebagai punca utama kediaman masih tidak terjual di negara ini, kata PropertyGuru Malaysia.
Pengurus Negaranya, Kenneth Soh berkata, isu itu melangkaui harga, dengan faktor seperti lokasi, ketersambungan dan kebolehdiaman secara keseluruhan memainkan peranan penting manakala ketidakpadanan tersebut lebih besar dalam pasaran perumahan harga rendah.
Beliau menambah, firma data pasaran hartanah itu telah berhubung dengan pelbagai persatuan dan agensi kerajaan, namun apa yang mereka dapati ialah faktor harga sahaja tidak boleh menentukan terdapat permintaan daripada bakal pembeli rumah di sesuatu kawasan tertentu.
"Sesuatu hartanah mungkin mampu milik tetapi tidak menarik jika jauh dari kemudahan utama atau terletak di kawasan trafik sesak, menjadikan kos pemilikan yang tinggi dalam cara lain," kata beliau pada pelancaran laporan dan tinjauan PropertyGuru Group 2024 hari ini.
Berdasarkan angka urus niaga katanya, rumah berharga bawah RM500,000 terus mendominasi bilangan jualan yang menunjukkan permintaan kukuh dalam segmen itu dan beliau menekankan bagi pemain industri hartanah, perkara utama ialah bukan faktor harga.
Sebaliknya tambah Kenneth, semua orang harus mempunyai akses kepada pemilikan perumahan yang selamat, selesa dan bersambung dengan baik kerana pembeli hari ini juga mempertimbangkan lebih daripada sekadar harga, dan di situlah banyak ketidakpadanan berlaku.
Beliau merujuk data terkini Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) yang menunjukkan hartanah kediaman berharga bawah RM300,000 mencatatkan bilangan tidak terjual tertinggi mengikut kategori harga, dengan 7,135 unit mewakili 30.3 peratus daripada keseluruhan jumlah.
Ini diikuti rapat projek perumahan berharga antara RM300,000 dan RM500,000 dengan 6,813 unit yang membentuk 29 peratus, manakala kediaman dalam lingkungan harga RM500,000 hingga RM1 juta pula menyumbang 28.6 peratus, iaitu sebanyak 6,713 unit hartanah itu tidak terjual.
Sebaliknya JPPH mendedahkan yang rumah berharga tinggi iaitu melebihi RM1 juta mempunyai bahagian terendah, terdiri daripada hanya 12.1 peratus berbanding keseluruhan tidak terjual, dengan 2,854 unit sahaja masih lagi berada di pasaran hartanah kediaman seluruh negara.
Mengulas mengenai prospek pasaran pada masa depan, Kenneth berkata, walaupun terdapat penurunan dalam data hartanah tempatan bagi tempoh suku pertama 2025, trend keseluruhan sejak pembukaan semula penjualan perumahan selepas wabak Covid-19 didapati semakin bertambah baik.
"Kami telah melihat pertumbuhan suku ke suku dan tahun ke tahun. Saya tidak fikir, sekurang-kurangnya dari sudut pandangan kami, berlaku situasi penjualan lemah. Kemerosotan pembelian rumah baru-baru ini mungkin disebabkan oleh musim atau faktor lain dalam pasaran," katanya.
Secara umum tambahnya, landskap di Malaysia agak stabil, dengan titik panas menunjukkan dinamik yang berbeza-beza misalnya jika di Johor, terdapat rasa optimistik semakin meningkat kerana sebahagian besarnya didorong oleh perkembangan positif di negeri tersebut sendiri.
Selain itu ada dasar sokongan, dan kesan limpahan dari Singapura. Sementara di Kuala Lumpur, pasaran kelihatan lebih stabil, dengan permintaan dan penawaran yang agak seimbang. Begitu juga perumahan di Pulau Pinang, tinjauan keseluruhan adalah kekal stabil," kata Kenneth.
Penemuan daripada tinjauan PropertyGuru 2024 turut mendedahkan sebanyak 83 peratus rakyat Malaysia terbuka untuk membayar premium untuk rumah dengan ciri mampan, menilai faedah seperti bil utiliti rendah, daya tahan iklim yang lebih baik dan pemeliharaan nilai jangka panjang.
Ketua Kemampanan Kumpulan PropertyGuru, Cécile Corda berkata, permintaan untuk rumah mampan dan inklusif juga meningkat dengan 77 peratus responden yang ditemui firma tersebut amat mengambil kira risiko iklim dalam keputusan pemilikan hartanah kediaman mereka. - DagangNews.com








