KUALA LUMPUR 31 Julai - Bank Negara Malaysia (BNM) mengenakan Penalti Monetari Pentadbiran (PMP) sebanyak RM995,000 ke atas Bank Simpanan Nasional (BSN) kerana gangguan berpanjangan kepada perkhidmatan perbankannya.
BNM mendakwa BSN atas tuduhan ketidakpatuhan terhadap Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 (DFIA) dan Dokumen Dasar Pengurusan Risiko dalam Teknologi (RMiT PD).
Pada 16 Jun 2025, BNM telah mengenakan PMP ke atas BSN kerana ketidakpatuhan terhadap seksyen 41(4)(a) DFIA, dibaca bersama perenggan 10.32 dalam RMiT PD yang berkuat kuasa pada 1 Jun 2023.
Di bawah perenggan 10.32 RMiT PD, institusi kewangan dikehendaki memastikan sistem kritikal yang relevan direka bentuk dengan kebolehsediaan tinggi, iaitu:
a) jumlah masa henti tidak dirancang yang menjejaskan antara muka pengguna tidak melebihi empat jam dalam tempoh 12 bulan semasa; dan
b) masa henti maksimum yang boleh diterima adalah 120 minit bagi setiap insiden.
Antara 1 Jun 2023 hingga 31 Oktober 2024, BSN mengalami beberapa insiden masa henti tidak dirancang yang menyebabkan gangguan berpanjangan kepada perkhidmatan perbankannya, termasuk saluran perbankan elektronik, Mesin Juruwang Automatik (ATM) serta sistem kad debit dan kredit.
Tempoh gangguan tersebut telah melebihi ambang yang ditetapkan dalam perenggan 10.32 RMiT PD. Ketidakpatuhan ini berpunca daripada kelemahan dalam melaksanakan proses tindak balas dan pemulihan untuk memulihkan sistem yang terganggu dengan segera. Keadaan ini telah menjejaskan ketersediaan perkhidmatan perbankan penting kepada pelanggan dan pihak berurusan.
BSN kemudiannya telah mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk meningkatkan keupayaan pemulihan dan memperkukuh infrastruktur IT sebagai sebahagian daripada pelan pelaburan infrastruktur teknologi berbilang tahun bagi mencegah ketidakpatuhan pada masa hadapan.
Dalam membuat keputusan untuk mengenakan PMP, BNM telah mengambil kira faktor-faktor yang memburukkan dan meringankan yang relevan, termasuk:
kegagalan BSN mengambil langkah munasabah untuk mengurangkan insiden masa henti yang membawa kepada ketidakpatuhan;
tahap keterukan ketidakpatuhan, termasuk kesan gangguan perkhidmatan kepada pelanggan dan pihak berurusan;
rekod pematuhan BSN sebelum ini; dan
keberkesanan tindakan pembetulan yang diambil untuk mencegah berulangnya pelanggaran.
BNM menjangkakan semua institusi kewangan mengekalkan tahap daya tahan teknologi yang tinggi terhadap gangguan operasi bagi memastikan ketersediaan berterusan perkhidmatan kewangan yang penting. BNM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penyeliaan dan penguatkuasaan yang sewajarnya sekiranya institusi kewangan gagal memenuhi jangkaan kawal selia.
BSN telah membayar sejumlah RM995,000 bagi PMP yang dikenakan oleh BNM pada 25 Jun 2025.
Tindakan penguatkuasaan terhadap BSN ini telah dilaksanakan selaras dengan pendekatan dan proses yang diperincikan dalam Enforcement Approach. - DagangNews.com








