Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC) jadi pemangkin utama ekonomi Perak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC) jadi pemangkin utama ekonomi Perak

KUALA LUMPUR 12 Feb - Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC), sebuah projek transformatif 25 tahun, bersedia untuk menjadi pemangkin utama pertumbuhan ekonomi jangka panjang Perak di samping melengkapkan sektor pelabuhan Malaysia.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) Datuk Redza Rafiq Abdul Razak berkata LuMIC adalah pusat kepada pembangunan Kluster Industri Maritim Bersepadu di Manjung, memfokuskan kepada sektor maritim, pelabuhan, logistik dan perindustrian yang mempunyai hubungan langsung dengan perdagangan global.

 

Merentasi 9,307.7 hektar di Manjung, LuMIC dijangka menarik pelaburan langsung asing (FDI) yang ketara ke Perak, mewujudkan lebih 50,000 pekerjaan baharu, kata Redza Rafiq kepada Bernama.

 

Beliau berkata LuMIC direka untuk melengkapkan, bukan bersaing dengan pelabuhan utama seperti Pelabuhan Klang di Selangor, serta pelabuhan di Johor dan Pulau Pinang.

 

 

 (PKNPk) Datuk Redza Rafiq Abdul Razak
           Datuk Redza Rafiq Abdul Razak

 

 

Walaupun Pelabuhan Klang, Johor, dan Pulau Pinang telah membentuk reputasi yang kukuh, lokasi strategik LuMIC di pantai barat Semenanjung Malaysia menawarkan akses terus ke laluan perdagangan antarabangsa utama, terutamanya dengan jaraknya yang berdekatan dengan Selat Melaka, jelasnya.

 

Dengan rangkaian pengangkutan yang teguh, termasuk lebuh raya, kereta api dan sambungan udara, LuMIC berada pada kedudukan yang baik untuk menarik laluan perkapalan global dan mewujudkan laluan perdagangan baharu.

 

Sokongan kerajaan melalui insentif cukai dan dasar mesra pelaburan akan mengukuhkan lagi daya tarikannya, kata Redza Rafiq, sambil menambah bahawa LuMIC akan berfungsi sebagai penyambung penting kepada pelabuhan antarabangsa dan syarikat perkapalan global.

 

Meskipun potensi LuMIC yang kukuh, beliau mengakui cabaran dalam mendapatkan pelaburan untuk fasa awal projek itu di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik global.

 

LuMIC ialah satu daripada lima projek utama yang sedang dijalankan di Perak, di samping Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV), Taman Perindustrian Halal Perak (Perak HIP), Taman Teknologi Lembah Perak (SVTP), dan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP).

 

Kerjasama PKNPk dengan Pelabuhan Antwerp-Bruges Antarabangsa Belgium (PoABI) dijangka meningkatkan kesalinghubungan antara Eropah dan Asia, meletakkan Lumut sebagai bandar maritim yang moden dan mampan.

 

Redza Rafiq berkata bahawa fasa pertama kajian kebolehlaksanaan LuMIC, disokong oleh geran €1.9 juta daripada Kesatuan Eropah (EU) pada 2023, menandakan peristiwa penting dalam perkongsian PKNPk-PoABI.

 

Kajian itu memberi tumpuan kepada potensi tenaga hijau, perancangan induk dan strategi perniagaan, dengan penyiapan dijangka awal tahun ini. “Selepas itu, perancangan terperinci dan penyediaan tanah akan dimulakan, membuka laluan kepada aktiviti pembangunan,” katanya.

 

Bagi menyelia pembangunan dan pengurusan projek, PKNPk dan PoABI telah menubuhkan sebuah syarikat tujuan khas (SPV) bernama LuMIC DevCo. Kerjasama ini akan memberi tumpuan kepada perancangan strategik, amalan alam sekitar yang mampan dan pengukuhan rantaian nilai dalam hab maritim bersepadu.

 

Walaupun PoABI membawa kepakaran dalam pengurusan projek, perundingan dan latihan antarabangsa, PKNPk memanfaatkan pengetahuan dan rangkaian tempatan untuk menyokong usaha pembangunan dan pengurusan tanah untuk LuMIC.

 

Redza Rafiq menekankan peranan LuMIC sebagai enjin pertumbuhan untuk Perak dan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER). Projek itu dijangka menarik pelaburan sektor swasta, disokong oleh FDI, modal domestik, insentif zon ekonomi khas, dan perkongsian industri-akademik yang teguh.

 

Pelaburan daripada syarikat tempatan dan antarabangsa akan meningkatkan aliran masuk modal ke Perak, manakala hasil cukai dan yuran berkaitan akan menyumbang kepada pendapatan kerajaan, katanya.

 

Di luar penciptaan pekerjaan, LuMIC akan memacu pembangunan kemahiran, meningkatkan produktiviti tenaga kerja, dan meningkatkan kebolehpasaran dalam kalangan bakat tempatan.

 

Kesan limpahannya—seperti rangkaian jalan raya yang dinaik taraf, kemudahan pelabuhan moden dan sistem logistik termaju—dijangka meningkatkan daya saing ekonomi Perak dan meningkatkan nilai hartanah di kawasan sekitar. - DagangNews.com