KUALA LUMPUR 16 Mei — Tidak sampai dua bulan selepas direkodkan Mahkamah Rayuan, AwanBiru Technology Berhad (Awantec) akhirnya mengesahkan telah menerima penyelesaian penuh sebanyak RM201.45 juta daripada kerajaan pada 14 Mei 2025.
Ia berhubung isu kontroversi pertikaian selama tujuh tahun mengenai projek Sistem Kawalan Imigresen Nasional (SKIN) bernilai RM3.5 bilion yang dibatalkan kerajaan secara tiba-tiba pada Disember 2018 ketika era pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.
Syarikat tersebut berkata, anak syarikat milik penuhnya Prestariang Skin Sdn Bhd (PSKIN) sudah menerima jumlah penyelesaian secara penuh dan muktamad yang turut menandakan tamatnya prosiding undang-undang berhubung kemelut kes kontrak projek berkenaan.
"Pembayaran itu turut membolehkan syarikat bergerak ke hadapan dengan tumpuan penuh untuk memacu pertumbuhan masa depan dan terus memberikan nilai kepada pemegang kepentingan kami sendiri,” kata Awantec dalam satu makluman difailkan kepada Bursa Malaysia.
Artikel berkaitan: Kerajaan setuju bayar Awantec RM201.477 juta ekoran penamatan projek SKIN
Sebelum ini, pada 24 Mac 2025, Mahkamah Rayuan merekodkan penghakiman persetujuan kerajaan untuk membayar kepada PSKIN dalam tempoh tiga bulan dan membatalkan rayuan terhadap perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menyelesaikan sebanyak RM231.55 juta.
Pertikaian tersebut bermula pada April 2019 apabila PSKIN menuntut RM733 juta daripada kerajaan berhubung penamatan projek SKIN yang bernilai RM3.5 bilion, kontrak selama 15 tahun untuk menaik taraf sistem pendigitalan Jabatan Imigresen di seluruh Malaysia.
Projek berkenaan yang dianugerahkan kepada PSKIN pada 2017 ketika di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak, bertujuan untuk menggantikan sistem imgresen sedia ada dan juga meningkatkan kawalan keselamatan sempadan negara dengan lebih baik.
Bagaimanapun pada Disember 2018, kerajaan bertindak membatalkan projek tersebut atas alasan untuk mengurangkan kos dan pelbagai proses rundingan yang gagal kemudian menyebabkan PSKIN meneruskan tindakan undang-undang. - DagangNews.com








