Avangaad perkukuh prospek FY26, lonjakan pendapatan dijangka selepas pengambilalihan BJSC - TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Avangaad perkukuh prospek FY26, lonjakan pendapatan dijangka selepas pengambilalihan BJSC - TA Securities

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 22 Ogos – Avangaad Bhd dijangka berdepan prospek pertumbuhan lebih cerah bermula tahun kewangan 2026 (FY26), hasil strategi pengembangan aset marin dan transformasi perniagaan yang lebih teratur, kata TA Securities.

 

Dalam nota penyelidikannya, firma itu berkata, antara pemangkin utama pertumbuhan ialah penyempurnaan pengambilalihan Bumi Jaya Shipcare (BJSC) serta dua vessel baharu – PW Tekun dan Bumi Jaya – dengan jumlah pertimbangan ekuiti sebanyak RM49 juta yang dijangka selesai pada separuh kedua FY2025.

 

Pihak pengurusan percaya langkah itu akan menjadi pemacu keuntungan utama bermula FY26, sekali gus mempelbagaikan sumber pendapatan Avangaad serta mengukuhkan kedudukannya dalam sektor pembaikan kapal dan perkhidmatan marin.

 

BJSC ialah syarikat perkhidmatan marin berpusat di Johor yang menyediakan khidmat sokongan luar pesisir dan perundingan, termasuk tunda dan tambat untuk sektor minyak & gas serta pelabuhan. 

 

Model perniagaannya berasaskan aset dengan bot tunda beroperasi di bawah kontrak pajakan jangka panjang bersama pengendali minyak & gas serta pihak berkuasa pelabuhan. 

 

"Kontrak multi-tahun dengan kadar tetap ini dijangka menyumbang kepada aliran pendapatan berulang yang stabil," kata firma itu lagi.

 

Kestabilan Operasi & Rasional Pelupusan Aset

 

Di sebalik strategi pengembangan, Avangaad mengekalkan kestabilan operasi dengan mengekalkan pasukan pengurusan sedia ada tanpa melaksanakan skim pemisahan sukarela (VSS). 

 

Malah, lesen penting daripada PETRONAS turut dikekalkan, memastikan syarikat terus layak menyertai kontrak huluan dan hiliran bersama syarikat minyak negara itu.

 

Pada 13 Ogos lalu, Avangaad telah mengumumkan pelupusan kapal FSO Nautica Tembikai bernilai AS$10.5 juta (RM44.5 juta), yang membolehkan syarikat menjana keuntungan bersih RM29.4 juta.

 

Menurut firma tersebut, langkah pengewangan ini dianggap tepat pada masanya bagi mengukuhkan kecairan modal serta menyokong kontrak jangka panjang. 

 

Selepas transaksi, armada Avangaad kini terdiri daripada 2 kapal tangki minyak, 8 kapal sokongan luar pesisir dan 15 kapal operasi pelabuhan.

 

Pihak pengurusan menegaskan pelupusan tersebut tidak menjejaskan pendapatan semasa, memandangkan kapal berkenaan telah tidak beroperasi sejak 2023, sekaligus membolehkan modal digunakan dengan lebih efisien. - DagangNews.com