KUALA LUMPUR 29 Ogos – Aumas Resources Bhd terpaksa menanggung kerugian bersih RM19.91 juta bagi suku ketiga kewangan berakhir 30 Jun 2025 (3QFY2025) berbanding keuntungan bersih RM834,000 pada suku sama tahun lalu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat mendakwa kerugian berpunca daripada operasi di lombong emas Bukit Mantri diganggu insiden sabotaj serius pada Mei.
Syarikat itu menjelaskan, insiden sabotaj tersebut menyebabkan kerosakan pada infrastruktur perlombongan utama sekaligus menimbulkan gangguan besar kepada operasi, namun kini telah berjaya dipulihkan sepenuhnya.
"Kami kini fokus sepenuhnya untuk memulihkan semula pengeluaran dan mengoptimumkan pemulihan emas.
“Langkah segera merangkumi peningkatan keselamatan, pemantauan 24 jam dan pengoptimuman pemprosesan bijih sedia ada," kata kenyataan itu.
Pendapatan suku itu menjunam 31% kepada RM29.55 juta, berbanding RM42.8 juta tahun lalu. Sebagai perbandingan, Aumas mencatat keuntungan bersih RM834,000 pada 3QFY2024.
Meskipun berdepan cabaran besar, Aumas tetap berjaya menghasilkan 63.62kg emas dengan nilai jualan bersih RM29.26 juta — bersamaan kira-kira RM460,000 bagi setiap kilogram.
Pengeluaran perak pula berjumlah 18.15kg, menyumbang nilai tambahan RM58,000.
Berita berkaitan: Aumas Resources dapat kelulusan teruskan operasi penuh melombong emas di Tawau
Sabotaj terancang, mahkamah campur tangan
Kenyataan itu berkata, insiden sabotaj bermula 17 Mei, apabila sistem saliran utama di fasiliti Bukit Mantri dihalang menggunakan jentera berat.
Hujan lebat keesokan harinya menyebabkan air bertakung, lalu menumbangkan tembok takungan sisa (tailings) pada 19 Mei.
“Kerja pembaikan turut beberapa kali digagalkan akibat gangguan berterusan,” dedah syarikat.
Akhir Mei, Aumas berjaya mendapatkan perintah injunksi daripada mahkamah bagi melindungi kerja pembaikan dan mengelakkan gangguan lanjut.
Syarikat kini dalam proses mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas pengurusan atas dakwaan salah laku.
Satu tuntutan sivil sedia ada telah dipinda yang merangkumi tuntutan tambahan melebihi RM9 juta, berkaitan 41 jongkong emas doré yang hilang serta liabiliti cukai tambahan daripada LHDN.
Aumas turut memaklumkan bahawa Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah membersihkan nama syarikat daripada sebarang ketidakteraturan selepas Jun 2023.
Langkah ke hadapan: Pulih Semula Momentum
Aumas menegaskan bahawa operasi kini kembali berjalan lancar, dengan tumpuan kini diberikan kepada pemulihan maksimum daripada stok bijih sedia ada dan meningkatkan kadar pemulihan emas.
Syarikat juga akan menyiapkan sistem keselamatan perimeter baharu dan penambahbaikan sistem pemantauan dan kawalan sedia ada.
“Fokus kami kini adalah pulih semula momentum dan mengembalikan keyakinan pelabur,” tegas pengurusan. - DagangNews.com








