KUALA LUMPUR 29 Sept - Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengumumkan agihan pendapatan Amanah Saham Malaysia 3 (ASM 3) sebanyak 4.75 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2025.
Pendapatan ASM 3 diperoleh daripada keuntungan yang direalisasikan, dividen, serta sumber pendapatan lain daripada pelaburan domestik dan antarabangsa.
Pengagihan pendapatan berjumlah RM896.01 juta itu akan memanfaatkan 717,446 pemegang unit yang kini memiliki 19.16 bilion unit.
"Pengagihan pendapatan sebanyak 4.75 sen seunit mengatasi penanda aras pulangan Deposit Tetap 12 Bulan Maybank pada paras 2.40% sebanyak 235 mata asas bagi tahun kewangan sehingga 24 September 2025
"Pencapaian kukuh ini amat ketara di sebalik keadaan pasaran domestik yang mencabar, dengan FBMKLCI masih mencatatkan prestasi negatif setakat tahun ini," katanya dalam satu kenyataan.

Prestasi dana itu disokong pempelbagaian aset yang berterusan, dengan peningkatan pendedahan kepada instrumen pendapatan tetap yang menawarkan kestabilan dan pulangan konsisten.
Peruntukan strategik ke pasaran global turut memperkukuh pertumbuhan portfolio, dengan memanfaatkan peluang di luar sempadan domestik.
"Pengiraan pengagihan pendapatan untuk ASM 3 adalah berdasarkan purata baki bulanan minimum yang dipegang sepanjang tahun kewangan dana tersebut.
"Pengagihan yang diisytiharkan oleh ASM 3 akan dilaburkan semula secara automatik sebagai unit tambahan ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Oktober 2025," katanya.
Urus niaga ASM 3 di semua cawangan dan ejen ASNB, termasuk semua saluran dalam talian dan perbankan internet, telah ditangguhkan buat sementara waktu dari 28 hingga 30 September 2025.
Pemegang unit boleh melakukan semula urus niaga di portal myASNB atau melalui aplikasi mudah alih myASNB, atau di mana-mana cawangan atau ejen ASNB di seluruh negara bermula 1 Oktober 2025. - DagangNews.com








