ASEAN-BAC Malaysia, ACCA dan rakan ASRAC lancar kenyataan dasar serantau | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

ASEAN-BAC Malaysia, ACCA dan rakan ASRAC lancar kenyataan dasar serantau

Dari kiri, Pulkit Abrol, Jukhee Hong, Tan Sri Nazir Razak, Pengerusi ASEAN-BAC Singapura, Teo Siong Seng, dan Presiden ISCA,Teo Ser Luck menunjukkan dokumen Kenyataan Asrac yang dilancarkan di Singapura malam tadi.
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 3 Julai - Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) Malaysia bersama rakan kerjasamanya dalam ASEAN Sustainability Reporting Advocacy Collaborative (ASRAC) telah melancarkan satu kenyataan dasar serantau yang menyeru penyelarasan hala tuju pelaporan kelestarian di seluruh ASEAN.

 

Kenyataan tersebut menggesa supaya ASEAN menyelaraskan laporan kelestarian dengan piawaian antarabangsa bagi mengurangkan pertindihan dan memudahkan pelaporan bagi perniagaan pelbagai saiz di rantau ini.

 

Kenyataan ASRAC itu dilancarkan sempena acara ASEAN Night anjuran Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) yang berlangsung di Singapura malam tadi.

 

Ia adalah kenyataan pertama hasil kerjasama antara ACCA, ASEAN-BAC Malaysia, Sustainable Finance Institute Asia (SFIA) dan APEC Business Advisory Council (APEC-BAC) Malaysia.

 

Pada malam pelancaran kenyataan itu, ASEAN-BAC Singapura dan Institut Akauntan Bertauliah Singapura (ISCA) turut menandatangani dokumen tersebut.

 

Inisiatif itu juga adalah sebahagian daripada 12 keutamaan perniagaan yang diperkenalkan oleh ASEAN-BAC Malaysia pada Januari lalu.

 

Kenyataan ASRAC dihasilan berasaskan dapatan laporan ACCA yang akan diterbitkan akhir Julai ini dan mengemukakan cadangan praktikal berdasarkan pandangan sektor perniagaan.

 

Kenyataan itu menyokong penggunaan piawaian Lembaga Piawaian Kelestarian Antarabangsa (ISSB) sebagai asas global dengan pelbagai pendekatan yang membolehkan negara menambah keperluan tambahan selain pendedahan berkaitan iklim. 

 

Ia turut mencadangkan pelepasan peralihan bagi mengurangkan beban pelaporan yang berpunca daripada keperluan lain seperti Piawaian Pelaporan Kelestarian Eropah (ESRS), selain menekankan keperluan supaya pelaporan kekal praktikal dan berskala, khususnya untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

 

Pengarah Eksekutif ASEAN-BAC Malaysia merangkap Pengerusi ASRAC, Jukhee Hong berkata, kenyataan ASRAC mencerminkan suara kolektif sektor swasta dalam menyampaikan pandangan terhadap peranan badan piawaian dan pengawal selia dalam menangani cabaran pelaporan iklim.

 

"Dengan menggariskan tiga cabaran utama iaitu pematuhan, kos dan kapasiti (3C), serta menggesa pendedahan yang berskala dan sepadan, kami mahu mengubah kerumitan pelaporan kepada kejelasan.

 

"Inilah kerjasama serantau yang pragmatik, inklusif dan berpaksikan keperluan sebenar perniagaan, khususnya PKS," katanya.

 

Pengerusi ASEAN-BAC Malaysia, Tan Sri Nazir Razak pula berkata, ASRAC adalah contoh advokasi masa depan yang digerakkan sektor swasta selaras dengan peranan ASEAN-BAC sebagai suara perniagaan serantau.

 

"Kini, kita berpeluang menentukan arah masa depan pelaporan kelestarian rantau ini dan ASRAC membuktikan bahawa sektor swasta dan badan profesional mampu membentuk piawaian yang lebih baik," katanya.

 

Sementara itu, Pengarah Asia Pasifik ACCA, Pulkit Abrol berkata, penyertaannya adalah satu bukti komitmen tinggi bersama ASEAN terhadap pelaporan kelestarian berkualiti tinggi dan praktikal.

 

"Kenyataan ASRAC diterbitkan pada masa yang tepat untuk penyelarasan di sekitar piawaian ISSB dengan penekanan terhadap prinsip kesepadanan dan kepentingan global. 

 

"Sebagai rakan ilmu ASEAN-BAC, kami komited menyokong laluan pelaksanaan yang menjaga daya saing serantau dan suara ASEAN dalam perbincangan piawaian global," katanya.

 

Kenyataan itu turut menggariskan langkah pelaksanaan termasuk libat urus dengan kementerian kewangan, pengawal selia pasaran modal, badan piawaian antarabangsa, pembangunan platform data ESG dan usaha pembangunan kapasiti menerusi rakan serantau seperti ACCA.- DagangNews.com