Anwar tegaskan tiada campur tangan dalam siasatan SPRM ke atas Shamsul Iskandar  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Anwar tegaskan tiada campur tangan dalam siasatan SPRM ke atas Shamsul Iskandar 

Oleh Hamden Ramli

KUALA LUMPUR 2 Dis – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak memberikan sebarang arahan khas kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan terhadap bekas setiausahanya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

 

Dalam sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini, Anwar berkata SPRM bebas untuk menjalankan siasatan menyeluruh. 

 

Beliau berkata, Shamsul Iskandar telah melalui keseluruhan proses penahanan, termasuk dipakaikan gari dan mengenakan pakaian tahanan berwarna oren.

 

“Dalam kes yang sedang disiasat oleh SPRM ini, apa lagi yang anda mahu saya lakukan? Individu telah digari dan memakai pakaian tahanan. Banyak kes serius lain pun tidak sampai digari. 

 

"Adakah anda masih tidak puas hati? Saya tidak pernah memberikan apa-apa arahan kepada SPRM dalam apa jua cara. Saya dah jelaskan... mereka (SPRM) bebas untuk menyiasat. Jadi biarkan mereka teruskan siasatan. Apa lagi yang kamu mahu saya buat,” kata Anwar.

 

Beliau menjawab soalan tambahan daripada Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) yang bertanya mengenai peletakan jawatan Shamsul Iskandar dan prinsip integriti beliau, susulan tangkap layar perbualan yang didakwa melibatkan Shamsul dan ahli perniagaan Albert Tei yang menjadi tular.

 

Pada 28 November lalu, SPRM menahan Shamsul Iskandar, Tei dan seorang lagi individu, Sofia Rini Buyong, bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan rasuah. Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata kes itu dibuka segera kerana kepentingan awam.

 

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar berkata, SPRM telah mengambil tindakan terhadap sindiket besar yang dibiarkan tanpa pengawasan bertahun-tahun.

 

Menurut beliau, di bawah kerajaan Madani, kerajaan berjaya mengutip semula RM15.5 bilion hasil tindakan tersebut.

 

Berhubung beberapa perkongsian semula di akaun rasmi X beliau antara 28 November dan 1 Disember yang didakwa boleh menjejaskan siasatan SPRM, Anwar berkata perkara itu boleh disiasat jika perlu.

 

“Jika ada pos atau perkongsian semula yang menimbulkan isu, mereka boleh siasat. Saya akan bertanya kepada pentadbir kerana saya tidak ada masa untuk itu,” katanya. - DagangNews.com