KUALA LUMPUR 6 Okt — Syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), termasuk Khazanah Nasional Bhd, mesti menzahirkan semangat kepemimpinan beramanah dengan mengimbangi pulangan komersial dan pembangunan nasional, bukannya menumpukan semata-mata kepada keuntungan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam ucapan pembukaan beliau di Khazanah Megatrends Forum 2025, Anwar berkata Khazanah juga perlu memacu pembangunan yang inklusif bagi memastikan pertumbuhan ekonomi memberi manfaat kepada rakyat Malaysia secara keseluruhan.
Beliau menambah, perkara ini selaras dengan falsafah Madani yang menekankan keterangkuman dan keadilan sosial — yang membezakan kemakmuran sebenar daripada ilusi kekayaan.

“Landasan penjimatan fiskal kita adalah tentang amanah — memastikan setiap ringgit wang awam dibelanjakan dengan tujuan yang jelas. Para pelabur memahami hal ini.
"Keyakinan akan meningkat apabila kerajaan menunjukkan keberanian untuk melaksanakan reformasi, sambil berbelanja secara strategik.
“Pertumbuhan modal mesti sentiasa seiring dengan usaha pengembangan dalam semangat keadilan sosial, sejajar dengan roh Malaysia Madani,” katanya.
Anwar turut menegaskan, tadbir urus tidak seharusnya dilihat sebagai urusan birokrasi semata-mata, tetapi sebagai kompas moral sesebuah negara.
“Ia memastikan kemajuan tidak dikejar dengan mengorbankan prinsip, dan kepimpinan kekal bertanggungjawab kepada rakyat. Institusi seperti Khazanah mesti terus menghayati falsafah kepemimpinan beramanah ini,” katanya. - DagangNews.com








