KUALA LUMPUR 22 Ogos - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Pertahanan (MINDEF) melakukan semakan menyeluruh ke atas semua protokol keselamatan negara susulan siasatan rasuah melibatkan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata dalam mesyuarat Kabinet hari ini, Perdana Menteri turut mengarahkan MINDEF menyediakan laporan komprehensif sebaik sahaja Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menamatkan siasatan terhadap sindiket penyeludupan tersebut.
“Perdana Menteri amat bimbang dengan implikasi keselamatan negara dan telah mengarahkan kementerian meneliti semua aspek bagi memastikan keselamatan negara tidak terjejas,” katanya.
Awal bulan ini, 10 individu termasuk lima pegawai kanan ATM direman bagi membantu siasatan Ops Sohor SPRM yang menumpaskan sindiket penyeludupan di kawasan selatan tanah air.
Turut direman ialah dua wartawan portal media yang sebelum ini merupakan bekas pegawai perisikan tentera, seorang pengurus syarikat, seorang pembantu tadbir di Persatuan Perubatan Malaysia serta seorang wanita warga asing.
Mereka dikaitkan dengan serbuan berasingan minggu ini apabila SPRM menyerbu 14 lokasi di Lembah Klang dan Johor, menyasarkan premis perniagaan serta pemilik syarikat yang terlibat dalam perdagangan bekalan rokok, cerut dan arak.
Aktiviti haram itu dipercayai telah menyebabkan kerajaan kehilangan hasil cukai lebih RM250 juta antara tahun 2020 hingga 2024. - DagangNews.com








