KUALA LUMPUR 26 Ogos — David Low Yi Ngo, anak kepada bilionair arang batu Indonesia Low Tuck Kwong dari PT Bayan Resources Tbk, telah membeli pegangan 9% dalam Avillion Bhd yang berdepan masalah kewangan dengan anggaran bernilai RM9.25 juta pada harga 7 sen sesaham — lebih tinggi berbanding harga terbitan persendirian baru-baru ini pada 4 sen sesaham.
Pembelian itu berlaku kurang daripada dua minggu selepas seorang eksekutif Bayan Resources turut menjadi pemegang saham kedua terbesar syarikat tersebut melalui terbitan persendirian.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Yi Ngo membeli sebanyak 132.13 juta saham Avillion pada 20 Ogos melalui pasaran terbuka, tidak lama selepas syarikat itu mengumpul RM11.32 juta menerusi terbitan persendirian pada harga 4 sen sesaham. Saham Avillion ditutup pada harga 7 sen sesaham pada 20 Ogos.
Kemasukan Yi Ngo ke dalam kumpulan perhotelan dan pelancongan itu menyusuli langkah Ketua Pegawai Operasi Bayan Resources, Lim Chai Hock, yang muncul sebagai pemegang saham kedua terbesar Avillion selepas memperoleh 15% pegangan melalui terbitan persendirian awal bulan ini.
Datuk Md Wira Dani Abdul Daim, anak kepada bekas Menteri Kewangan Allahyarham Tun Daim Zainuddin, kekal sebagai pemegang saham terbesar meskipun pegangannya telah dicairkan kepada 17.5% daripada 21.8% selepas proses pengumpulan dana.

Avillion merancang menggunakan hasil kutipan tersebut bagi tujuan pengubahsuaian hotel utama di Port Dickson, membayar balik pinjaman serta modal kerja.
Namun, juruaudit luar baru-baru ini menimbulkan keraguan mengenai keupayaan syarikat untuk terus beroperasi, dengan merujuk kepada kerugian bersih tahun kewangan 2025 berjumlah RM8.84 juta serta kedudukan tunai negatif RM8.96 juta.
Saham Avillion ditutup susut setengah sen atau 6.67% kepada 7 sen pada Isnin, menjadikan nilai pasaran kumpulan itu RM99.10 juta. Kaunter tersebut telah merosot lebih 55% sejak awal tahun. - DagangNews.com








