KUALA LUMPUR 23 Mei — AME Elite Consortium Berhad mencadangkan untuk memberi bantuan kewangan sehingga RM100 juta kepada Suling Hill Development Sdn Bhd bagi membangunkan taman perindustrian dikenali Northern TechValley (BKE) di Pulau Pinang.
Suling Hill merupakan jentera tujuan khusus yang diperbadankan dengan 50 peratus kepentingannya dikawal bersama oleh anak syarikat milik penuh AME Elite iaitu Northern Industrial Park Sdn Bhd.
Kumpulan tersebut berkata, bantuan kewangan akan diberi dalam bentuk pinjaman pemegang saham dan dijangka dapat dibiayai oleh AME Elite melalui dana yang dijana sendiri secara dalaman.
"Sehingga 31 Disember 2024 sebagai suku kewangan yang terkini, kedudukan tunai dan baki bank kumpulan berjumlah kira-kira RM355.5 juta," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Ia berkata, projek pembangunan BKE melibatkan pembangunan tanah kosong pegangan bebas seluas 71 hektar di Daerah Seberang Perai Tengah, yang dirancang untuk didirikan plot industri dengan beberapa lot komersial,
Kawasan tersebut tambah AME Elite, akan dibina sejumlah rumah mampu milik dan fasliti sampingan termasuk asrama penginapan pekerja bersama-sama dengan pelbagai infrastruktur serta kemudahan awam.
“Pemberian bantuan kewangan yang dicadangkan itu akan menyediakan Suling Hill untuk mendapatkan dana bagi membiayai sebahagian kos tanah, kerja pembangunan dan modal projek itu," kata AME Elite.
Pinjaman pemegang saham tersebut tambah kumpulan tersebut, akan mengelakkan daripada berlaku kelewatan yang tidak perlu dan membolehkan penyiapan projek berkenaan secara tepat pada masanya.
Sehubungan itu, ia berkata, BKE dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan kumpulan tersebut melalui bahagian keuntungan masa depan syarikat yang diperoleh oleh Suling Hill.
Tambah AME Elite, selain keadaan yang tidak dijangka, bantuan tersebut akan disediakan sehingga tempoh enam tahun, tertakluk kepada pembayaran balik pinjaman sepenuhnya. - DagangNews.com








