AmBank biayai 80% pengambilalihan Worldwide Stainless ke atas Bahru Stainless bernilai RM1.06 bilion | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AmBank biayai 80% pengambilalihan Worldwide Stainless ke atas Bahru Stainless bernilai RM1.06 bilion

KUALA LUMPUR 6 Mac - Worldwide Stainless Sdn Bhd, syarikat bersekutu Kumpulan Yankong mengambil alih kilang keluli tahan karat, Bahru Stainless Sdn Bhd daripada Acerinox S.A Sepanyol, pada harga RM1.06 bilion.

 

Proses pengambilalihan itu selesai pada November 2024, dengan Kumpulan AmBank membiayai 80% daripada perjanjian antara Worldwide Stainless dan Acerinox, S.A.

 

CEO Yangkong dan Worldwide Stainless, Danny Tan Wei Beoh berkata urus niaga itu menandakan kejayaan penting bagi Worldwide Stainless dengan kejayaan pengambilalihan Bahru Stainless, satu-satunya kilang keluli tahan karat di Malaysia, daripada Acerinox S.A. dengan pertimbangan pembelian sebanyak AS$95 juta.

 

“Keyakinan AmBank terhadap visi dan keupayaan kami ditunjukkan melalui peranan penting mereka dalam membiayai 80% daripada perjanjian itu.

 

"Kepercayaan yang mereka berikan kepada kami bukan sahaja mencerminkan kedudukan syarikat kami dalam industri keluli tahan karat tetapi juga kepercayaan yang berterusan yang telah kami bina bersama selama ini," katanya dalam kenyataan di sini.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Perbankan Perniagaan AmBank, Christopher Yap, berkata ia adalah langkah berani ke hadapan yang akan memberi manfaat kepada ekonomi Malaysia dan industri keluli tahan karat negara.

 

“Industri keluli tahan karat di Malaysia bersedia untuk berkembang, dan dengan kepakaran Bahru Stainless digabungkan dengan sokongan kewangan kami, kami bersedia untuk menangkap peluang baharu dalam pasaran tempatan dan global.

 

“Melalui ini kami berharap dapat menyokong industri tempatan, memupuk penciptaan pekerjaan, dan pertumbuhan ekonomi di Malaysia, meletakkan diri kami untuk memberi impak yang ketara dalam pasaran Malaysia,” katanya. - DagangNews.com