Amazon Web Services meterai perjanjian jangka panjang dengan Elphil Energy bagi projek solar 23MW di Perak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Amazon Web Services meterai perjanjian jangka panjang dengan Elphil Energy bagi projek solar 23MW di Perak

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 26 Mei – Amazon Web Services (AWS), anak syarikat Amazon.com Inc menandatangani perjanjian pembelian tenaga jangka panjang (PPA) bersama Elphil Energy, anak syarikat Asiabina Group bagi pembangunan projek tenaga solar berkapasiti 23 megawatt (MW) di Sungai Siput, Perak.

 

Perjanjian ini merupakan kerjasama tenaga bebas karbon pertama AWS di Malaysia, menunjukkan satu pencapaian penting dalam usaha syarikat teknologi global itu memperkukuh pelaburan dan kehadirannya di negara ini.

 

Melalui perjanjian PPA tersebut, AWS  akan membeli tenaga elektrik yang dijana daripada projek berkenaan dalam tempoh jangka panjang. 

 

Projek itu mampu membekalkan tenaga bersamaan penggunaan lebih 50,000 isi rumah di Malaysia setiap tahun.

 

Selain itu, projek solar ini turut menyokong usaha Malaysia memperluaskan penggunaan tenaga boleh diperbaharui (RE) dalam campuran bekalan elektrik negara yang membantu mengurangkan kebergantungan kepada sumber tenaga berasaskan fosil.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga, Siti Safinah Salleh berkata projek ini mencerminkan komitmen AWS untuk bekerjasama dengan pihak berkepentingan tempatan dalam mempercepatkan penggunaan tenaga bersih, selaras dengan rangka kerja tenaga boleh diperbaharui negara.

 

Beliau berkata inisiatif ini turut menyokong sasaran Malaysia untuk mencapai 40 peratus kapasiti tenaga boleh diperbaharui menjelang tahun 2035, selain mengukuhkan usaha peralihan tenaga negara ke arah sistem yang lebih mampan.

 

Sementara itu, Pengurus Negara AWS Malaysia, Hussein Mohd Ali berkata selepas pelancaran Wilayah AWS Malaysia pada tahun 2024, pelaburan dalam tenaga bebas karbon membantu menyokong transformasi digital negara, termasuk pembangunan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) serta operasi perniagaan berskala besar.

 

“Penggunaan tenaga bersih ini adalah sebahagian daripada komitmen global AWS di bawah inisiatif Climate Pledge, yang menyasarkan pelepasan karbon sifar bersih menjelang tahun 2040.

 

“Usaha ini dapat memenuhi permintaan tenaga semasa dan pada masa yang sama membina masa depan tenaga yang lebih bersih boleh bergerak seiring, tanpa menjejaskan pertumbuhan digital dan inovasi teknologi,” katanya.

 

Secara keseluruhannya, perjanjian ini bukan sahaja memperkukuh sektor tenaga boleh diperbaharui di Malaysia, tetapi turut mengukuhkan kedudukan negara sebagai destinasi pelaburan tenaga hijau yang semakin berkembang di rantau ini. - DagangNews.com