KUALA LUMPUR 2 Mei — Peningkatan ketegangan perdagangan global ketika ini telah mendorong pelabur asing ke arah aset yang lebih selamat, memacu langganan tinggi bon Malaysia walaupun aliran keluar ekuiti berterusan, kata MARC Ratings Berhad.
Agensi penarafan tersebut berkata, pelabur asing meskipun telah menarik keluar RM4.7 bilion daripada pegangan mereka, tetapi situasi itu diseimbangkan pula oleh aliran masuk bersih ke pasaran bon tempatan sebanyak RM2.8 bilion pada April 2025
Hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia katanya, merosot dengan penurunan mendadak dalam tempoh jangka pendek hingga sederhana yang mencerminkan permintaan kukuh untuk bon ketika jangkaan monetari global dipengaruhi oleh faktor ketidaktentuan berkaitan tarif.
"Sebaran kredit korporat didapati melebar, yang menandakan perubahan dalam keutamaan terhadap bon berdaulat dan gred tinggi manakala selera risiko dalam pasaran sekunder juga pudar," kata MARC dalam semakan bulanan terbaharunya.
Selain itu, firma penarafan berkenaan menambah, di peringkat global, Indeks Dolar Amerika Syarikat (AS) jatuh di bawah 100 ekoran kebimbangan terhadap dasar perdagangan Presiden Donald Trump dan jangkaan pemotongan kadar Rizab Persekutuan.
Walaupun hasil Perbendaharaan AS dilaporkan meningkat berikutan kebimbangan terhadap inflasi dan jualan balas dendam, ia berkata, pasaran ekuiti kehilangan momentum.
"Bank pusat dan pasaran global menggunakan pendekatan tunggu dan lihat yang berhati-hati semasa penangguhan tarif selama 90 hari meskipun mengekalkan berat sebelah secara meluas, kerana tindakan dasar Trump mungkin tidak dapat diramalkan," katanya.
Di dalam negeri pula kata MARC, ekonomi Malaysia dijangka berkembang 4.4 peratus pada suku pertama 2025, turun berbanding 5.0 peratus pada suku sebelumnya susulan aktiviti perlombongan dan pembuatan yang lebih lemah.
Bagaimanapun tambahnya, permintaan domestik, perkhidmatan dan pembinaan kekal kukuh.
Inflasi adalah kekal lemah kepada 1.4 peratus pada Mac, tetapi ia menunjukkan risiko menaik daripada peningkatan gaji minimum baru-baru ini serta langkah rasionalisasi subsidi bahan api RON95 yang akan datang.
Eksport kata firma berkenaan, adalah meningkat 6.8 peratus pada Mac, didorong oleh penghantaran produk elektrik dan elektronik, minyak sawit serta jentera ke pasaran AS, Hong Kong dan Singapura.
MARC namun memberi amaran bahawa pendedahan kepada tarif baharu AS akan menimbulkan risiko, walaupun negara boleh mengurangkan kesannya melalui kepelbagaian rantaian bekalan yang berterusan.
Ringgit, yang pada mulanya lemah selepas pengumuman tarif AS itu, didapati melantun semula pada April berikutan sentimen serantau yang bertambah baik, kelemahan dolar AS yang lebih meluas dan penundaan 90 hari pelaksanaan tarif. - DagangNews.com








