KUALA LUMPUR 20 Nov – Aizo Group Berhad (AIZO) terus mengorak langkah strategik dalam segmen bahan binaan mampan apabila anak syarikat milik penuhnya, Aizo Manufacturing International Sdn Bhd (AMI), memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan K2 Bitumen Sdn. Bhd. untuk meneroka penubuhan fasiliti bitumen hijau di Sarawak.
Dalam kenyataan, Aizo berkata, fasiliti tersebut bakal memberi tumpuan kepada pengeluaran dan pengkomersialan Crumb Rubber Modified Bitumen (CRMB) serta rangkaian bitumen mampan lain, sekali gus menandakan peluasan Aizo ke dalam bahan pembinaan berorientasikan alam sekitar.
"Kerjasama ini menggabungkan kekuatan AMI dalam produk bitumen dengan kepakaran teknikal K2 Bitumen dalam teknologi CRMB yang menggunakan getah kitar semula daripada tayar terpakai dan buangan getah industri.
"Melalui MoU ini, kedua-dua pihak akan meneroka peluang penyelidikan, perkongsian teknologi serta pembangunan bersama penyelesaian inovatif bagi menyokong pembangunan infrastruktur hijau di Malaysia Timur," kata kenyataan itu.

Sementara itu Pengarah Eksekutif Aizo, Ahmad Rahizal Ahmad Rasidi, berkata MoU tersebut merupakan langkah penting dalam strategi Aizo untuk beralih kepada produk bernilai tinggi dan mampan.
“CRMB semakin diiktiraf kerana ketahanan dan manfaat alam sekitarnya. Kerjasama ini bukan sahaja mengukuhkan kedudukan kami dalam segmen produk bitumen, tetapi turut meletakkan Aizo sebagai peneraju ESG di Sarawak dan Malaysia,” katanya.
K2 Bitumen, yang diiktiraf sebagai syarikat ESG bertauliah, membawa keupayaan teknologi CRMB yang melengkapi kepakaran Aizo dalam kejuruteraan awam, pembuatan bitumen dan operasi infrastruktur.
Kedua-dua pihak akan menilai potensi pengembangan pengeluaran bitumen hijau di Malaysia Timur bagi mewujudkan sinergi jangka panjang dan mengukuhkan amalan ekonomi kitaran dalam industri pembinaan.
Inisiatif ini juga menyokong aspirasi Kerajaan Negeri Sarawak untuk membangunkan ekonomi bersih, hijau dan berasaskan kitaran, sambil memperluas aktiviti pembuatan mampan dan penggunaan bahan kitar semula dalam sektor pembinaan. - DagangNews.com








