AirBorneo rancang peluasan operasi, lancar penerbangan jet pertengahan 2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AirBorneo rancang peluasan operasi, lancar penerbangan jet pertengahan 2026

KUALA LUMPUR 5 Feb - AirBorneo sedang merancang untuk memperluaskan operasinya dengan menambah kapasiti dan laluan baharu, apabila syarikat penerbangan itu bercadang memperkenalkan operasi pesawat berenjin jet pada separuh kedua 2026.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Megat Ardian Wira Mohd Aminuddin, berkata syarikat itu berhasrat menawarkan perkhidmatan ke bandar-bandar serantau termasuk destinasi ASEAN serta laluan domestik menerusi operasi jet tersebut.

 

Beliau berkata AirBorneo dijangka memulakan operasi jet melalui pajakan pesawat, memandangkan syarikat itu ketika ini belum berada dalam kedudukan untuk membuat tempahan pesawat secara terus.

 

 

 

 

 

 

“Ketika ini, kami sedang menguruskan kelulusan kawal selia. Sebaik pesawat tiba, kami juga sedang membuat persediaan dari segi produk dan perkhidmatan dalam pesawat, serta perkhidmatan darat dan perkhidmatan sokongan lain.

 

“Kami menyediakan kesiapsiagaan operasi termasuk pengendalian darat, operasi penerbangan, kejuruteraan, serta kesiapsiagaan komersial bagi rangkaian, pengurusan hasil dan jualan,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual eksklusif sempena Pameran Udara Singapura 2026.

 

Menurut Megat Ardian, strategi jangka panjang syarikat adalah untuk membangunkan rangkaian operasi yang berfungsi sebagai tulang belakang yang menghubungkan bandar-bandar utama dengan rangkaian luar bandar dan serantau.

 

Rangkaian penerbangan dua hala itu direka bagi membawa pelancong dan penumpang lain ke Kuching sebelum mengagihkan mereka ke seluruh rangkaian Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS).

 

“Pelancong akan melawat beberapa komuniti seperti Bario dan Mulu, manakala komuniti dari wilayah lain pula akan terbang ke Kuching. Di situlah peluasan berlaku, menggunakan kedua-dua pesawat turboprop dan jet,” tambahnya.

 

Tempahan pesawat ATR dan operasi turboprop

Pada 3 Februari, AirBorneo memeterai perjanjian dengan pengeluar pesawat ATR, syarikat Perancis-Itali yang menghasilkan pesawat turboprop serantau, untuk menempah lapan pesawat yang terdiri daripada lima ATR 72-600 dan tiga ATR 42-600, dengan penghantaran dijadualkan antara 2027 hingga 2029.

 

Pesawat generasi baharu siri ATR-600 itu akan menjadi tulang belakang kepada operasi RAS yang lebih cekap dan berdaya tahan di Malaysia Timur.

 

Megat Ardian memberitahu penghantaran pesawat baharu itu akan dilakukan mengikut urutan 2-4-2, bermula pada suku ketiga 2027 dengan dua pesawat, diikuti empat pesawat pada 2028 dan baki dua pesawat pada 2029.

 

Beliau berkata pesawat ATR baharu itu akan menggantikan pesawat ATR sedia ada, yang akan terus beroperasi di laluan yang sama.

 

“Tiada lapangan terbang baharu akan beroperasi, jadi rangkaian penerbangan kekal sama,” katanya.

 

Mengulas prestasi bulan pertama operasi sejak penerbangan sulung pada 2 Januari lalu, Megat Ardian berkata AirBorneo kini mempunyai 14 pesawat, termasuk lapan ATR dan enam Twin Otter.

 

 

 

 

 

 

Syarikat penerbangan itu kini terbang ke 23 destinasi, dengan lima ATR berpangkalan di Kota Kinabalu, dua ATR dan lima Twin Otter beroperasi dari Miri, serta satu ATR dan satu Twin Otter dari Kuching.

 

“Sejak kami mengambil alih operasi daripada Malaysia Airlines Group, kami telah membawa kira-kira 53,000 penumpang pada Januari,” katanya. - BERNAMA