KUALA LUMPUR 3 Julai - Syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia sedang berunding dengan Airbus untuk menukar sebahagian tempahan pesawat badan sempit sedia ada kepada model jarak jauh A321XLR, kata dua sumber industri.
Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Group, Tan Sri Tony Fernandes berkata kepada Reuter bulan lalu bahawa beliau sedang berbincang untuk membeli antara 50 ke 70 unit model terbaharu Airbus itu dalam dalam tempoh sehingga tiga bulan namun memberi isyarat, keutamaan utama adalah bagi menyelesaikan penstrukturan semula kewangan kumpulan.
Satu perjanjian mungkin dimeterai seawal minggu ini semasa lawatan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Paris, kata sumber tersebut.
Namun, sumber lain berkata, perjanjian itu belum dapat dijamin.
AirAsia yang berpangkalan di Malaysia merupakan antara syarikat penerbangan tambang rendah terbesar di Asia dan antara pelanggan terbesar Airbus, dengan lebih 350 pesawat dalam tempahan.
Kumpulan itu telah menyusun semula buku tempahannya secara berperingkat susulan kesukaran kewangan yang dihadapinya selepas kejatuhan semasa pandemik COVID-19.
Menurut sumber, perjanjian seperti itu tidak semestinya akan meningkatkan jumlah keseluruhan tempahan tertunggak AirAsia dengan Airbus, tetapi akan menyokong model pesawat badan sempit jarak jauh terpanjang dalam industri.
Perbincangan mengenai tempahan besar bagi pesawat lebih kecil model A220 telah diketepikan buat masa ini, tambah mereka.
Fernandes ingin mengembangkan capaian global AirAsia dan menyatakan, model jarak jauh keluaran Airbus adalah komponen penting dalam visi tersebut.
Pada minggu, beliau beliau sedang mencari hab di rantau Teluk dengan AirAsia kini sedang berunding dengan empat lokasi, termasuk di Arab Saudi dan Ras Al Khaimah, sebahagian daripada Emiriah Arab Bersatu, menurut kenyataannya kepada radio Dubai Eye.
Bloomberg News pada hari ini melaporkan, AirAsia mungkin membuat tempahan pesawat badan sempit semasa lawatan Perdana Menteri, namun perjanjian itu belum dijamin.
Airbus dan AirAsia bagimanapun enggan memberi sebarang ulasan.- DagangNews.com







