KUALA LUMPUR 22 Jan - Ahli Parlimen Sarawak, Datuk Willie Mongin mengecam Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) kerana memfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan untuk menjelaskan kedudukan undang-undang operasi syarikat itu di negeri tersebut, dan menyifatkan tindakan itu sebagai “angkuh” sedangkan rundingan bagi penyelesaian komersial masih berjalan.
Semasa membahaskan titah diraja di Parlimen pada Rabu, Willie (GPS-Puncak Borneo) menyoal sama ada tindakan mahkamah PETRONAS itu diarahkan oleh, atau mendapat persetujuan daripada, kerajaan persekutuan — sebagai pemegang saham syarikat — atau Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Jika tidak, apakah langkah yang akan diambil kerajaan persekutuan bagi memastikan syarikat milik kerajaan tidak bertindak secara bercanggah dengan komitmen politik tertinggi negara?,” soal Willie.
Beliau berkata keputusan PETRONAS menyeret kedua-dua kerajaan persekutuan dan negeri Sarawak ke mahkamah adalah “sangat membimbangkan bagi rakyat Sarawak”.
"Ini terutamanya selepas Anwar dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, menandatangani deklarasi bersama tahun lalu yang mengikat kedua-dua pihak untuk berunding mengikut semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)," kata beliau.
Willie menuntut jaminan bahawa hak Sarawak di bawah MA63 dan deklarasi bersama akan terus dihormati, serta mendesak Putrajaya mengambil pendirian yang telus bagi mengelakkan kekeliruan dan kekecewaan lebih lanjut dalam kalangan rakyat Sarawak.

ARTIKEL BERKAITAN: PETRONAS bawa isu kawal selia operasi petroleum di Sarawak ke Mahkamah Persekutuan
Pada 12 Jan, PETRONAS memfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan untuk mendapatkan kepastian mengenai rangka kerja undang-undang dan peraturan yang mengawal operasinya di Sarawak, dengan menamakan kedua-dua kerajaan persekutuan dan negeri Sarawak sebagai responden.
Tindakan ini susulan pertikaian yang telah lama berlaku antara PETRONAS dan syarikat milik kerajaan Sarawak, Petroleum Sarawak Bhd (Petros), mengenai pengawasan aset gas di negeri tersebut.
Perdebatan itu khususnya menumpukan kepada peranan pengumpul gas di Sarawak — negeri pengeluar gas terbesar Malaysia — termasuk sama ada PETRONAS memerlukan lesen daripada kerajaan negeri untuk beroperasi di sana.
PETRONAS berkata dalam pengumumannya bahawa “perbincangan konstruktif” dengan Putrajaya, kerajaan Sarawak, dan Petros masih meninggalkan perbezaan yang menimbulkan ketidakpastian mengenai tanggungjawab yang terpakai kepada syarikat minyak negara itu.
Syarikat minyak negara itu juga terlibat dalam kes mahkamah berasingan dengan Petros selepas Petros enggan membayar gas yang dibekalkan pada Ogos 2024, dengan alasan PETRONAS tidak mempunyai lesen sah di bawah Ordinan Pengagihan Gas Sarawak (DGO). Keputusan kes tersebut dijadualkan pada 30 Jan.
Di Parlimen, Willie mengecam PETRONAS kerana bertindak naik tocang (angkuh) dan berkata tindakan syarikat itu “nampak tidak selaras dengan MA63,” yang “boleh ditafsirkan sebagai menghakis prinsip perkongsian sama rata yang menjadi asas Malaysia.” - DagangNews.com








