Affin Bank catat untung bersih RM124.1 juta naik 13% pada 1QFY25 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Affin Bank catat untung bersih RM124.1 juta naik 13% pada 1QFY25

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 19 Mei — Affin Bank Berhad merekodkan peningkatan keuntungan bersih kira-kira 12.6 peratus kepada RM124.1 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2025 (1QFY25) kepada RM124.1 juta berbanding RM110.2 juta pada suku sama pada tahun sebelumnya.

 

Kumpulan itu berkata,  hasil kumpulan meningkat kepada RM543.9 juta berbanding RM504.5 juta pada 1QFY24.


Katanya, segmen pinjaman dan pembiayaan kasar bank berkenaan meningkat 7.1 peratus tahun ke tahun (YoY) kepada RM72.9 bilion, daripada RM68.0 bilion tahun sebelumnya.


Deposit pelanggan meningkat 5.2 peratus kepada RM75.5 bilion, manakala nisbah akaun semasa dan akaun simpanan (CASA) bertambah kepada 32.2 peratus, berbanding 24.9 peratus setahun lalu.


Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin, Datuk Wan Razly Abdullah berkata, prestasi suku pertama itu mencerminkan pelaksanaan berterusan Pelan Affin Axelerate 2028 (AX28) , dengan keuntungan kasar meningkat 23.7 peratus YoY kepada RM178.2 juta.


"Ini disokong oleh hasil faedah bersih lebih tinggi, campuran pembiayaan yang semakin baik dan sumbangan kukuh daripada syarikat bersekutu," katanya dalam satu kenyataan.


Beliau menambah, ketika situasi persekitaran monetari sentiasa ketat dan tekanan berterusan makroekonomi global, Affin Bank terus melaksanakan disiplin kos dan kredit yang berhemat.


Walaupun kumpulan itu kekal berhati-hati terhadap prospek jangka pendek susulan turun naik luaran, beliau tetap yakin dengan keupayaan bank tersebut untuk mengemudi landskap, disokong oleh kualiti aset yang sihat, kepelbagaian kunci kira-kira dan pelaksanaan berdisiplin.

 

affin
Wan Razly Abdullah


“Kami berbesar hati untuk mengumumkan bahawa penarafan kredit antarabangsa pertama kami iaitu A3 daripada Moody’s Ratings yang mengukuhkan profil kredit Affin Bank dan meningkatkan kedudukan kumpulan ini dalam pasaran modal global," kata Wan Razly.


Ia meletakkan mereka untuk memperoleh pembiayaan mata wang dolar Amerika Syarikat (AS) lebih cekap kos, mempelbagaikan pangkalan pelabur dan membuka kunci peluang rentas sempadan strategik yang menyokong trajektori pertumbuhan jangka panjang.


Aplikasi perbankan mudah alih baharunya, AffinAlwaysX, kata beliau, juga telah berjaya dilancarkan secara dalaman kepada 5,700 pekerja dan menunjukkan prestasi yang baik sebelum pelancaran awamnya pada 22 Mei 2025.


Direka bentuk dengan ciri UI/UX dipertingkatkan, dan penambahbaikan keselamatan lebih baik, AffinAlwaysX tambah Wan Razly, dijangka memacu pertumbuhan ke arah sasaran 1.3 juta pengguna menjelang akhir 2025.


Inisiatif ini juga kata beliau, akan mengukuhkan kadar keteguhan CASA, disokong oleh strategi pemerolehan gaji yang lebih tertumpu.


"Nisbah CASA kami berada 32 peratus pada 1QFY25, melepasi sasaran FY25 sebanyak 31 peratus, iaitu hasil daripada usaha secara berterusan kami menurunkan kos dana kumpulan.


"Kami menjangkakan momentum dalam pertumbuhan CASA akan meningkat kepada kos dana yang lebih rendah dan pengembangan margin faedah bersih," tambah Wan Razly.


Kerjasama dengan MUFG Bank (Malaysia) Berhad, bank kelima terbesar di Asia baru-baru ini, menggariskan komitmen Affin Bank menyediakan rumusan disesuaikan, memudahkan perdagangan dan pelaburan rentas sempadan, serta mengembangkan kepakaran dalam bidang utama, termasuk Kewangan Islam, Kewangan Hijau dan Transformasi Digital.


Dengan memanfaatkan pengetahuan pasaran yang mendalam dan rangkaian global MUFG, kumpulan itu membuka peluang baharu untuk pelanggan dan rakan kongsi perniagaan selain membantu mereka meningkat dalam ekonomi global semakin saling berkaitan. - DagangNews.com