KUALA LUMPUR 22 Mei — Advancecon Holdings Berhad menerusi anak syarikatnya, Advancecon Infra Sdn Bhd (AISB) menerima kontrak bernilai RM47.5 juta untuk pembangunan Pusat Data Gerbil di Bandar Springhill, Port Dickson, Negeri Sembilan.
Kumpulan penyedia perkhidmatan kejuruteraan awam tersebut berkata, surat penganugerahan tender bagi kerja-kerja pembinaan dan penyiapan segala infrastruktur utama projek berkenaan diperoleh daripada Mujur Minat Sdn Bhd (MMSB).
Ia melibatkan cadangan pembangunan yang ditauliahkan oleh Gamuda Berhad dengan skop kerja yang diamanahkan kepada AISB termasuk komponen kritikal pembinaan infrastruktur pusat data, serta dijangka siap pada 30 Ogos 2025.
"Pencapaian ini menandakan kemasukan sulung Advancecon ke dalam segmen infrastruktur pusat data, sejajar dengan aspirasi Malaysia menjadi hab pengkomputeran awan dan perkhidmatan digital serantau," katanya dalam kenyataan.
AISB yang merupakan pakar dalam kerja tanah dan perkhidmatan kejuruteraan awam dijangka melaksanakan projek berkenaan dengan menggunakan gabungan dana yang dijana secara dalaman atau daripada sumber pinjaman luar.
Tender terbaharu berkenaan turut diramalkan menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan sepanjang tempoh kontrak, tanpa kesan material ke atas modal saham atau pegangan pemegang saham yang besar.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Advancecon, Datuk Phum Ang Kia berkata, kontrak ini bukan sahaja mempelbagaikan portfolio projek tetapi mewakili langkah strategik ke hadapan berkembang ke sektor baharu.
"Ia juga selaras dengan matlamat pendigitalan dan kemampanan nasional dan kami berbesar hati dapat memainkan peranan penting dalam menyokong pembangunan infrastruktur kritikal misi seperti Pusat Data Gerbil," kata beliau.
Tambahnya, projek itu berfungsi sebagai bukti kelayakan yang mengukuhkan kedudukan bagi meraih kontrak berkualiti tinggi pada masa hadapan selari visi menerajui global dalam infrastruktur, kerja tanah dan tenaga boleh diperbaharui. - DagangNews.com








