KUALA LUMPUR 28 Dis - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah, dilantik sebagai Menteri Besar Perlis yang baharu.
Abu Bakar, 57, mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perlis di hadapan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perlis yang berlangsung pada jam 4.04 petang ini.
Beliau merupakan Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis serta Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Perlis.
Abu Bakar memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Perlis pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan majoriti sebanyak 1,254 undi.
Sebelum ini, beliau telah dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perlis selepas rombakan pentadbiran kerajaan negeri pada November tahun lalu dan memegang portfolio Pelancongan, Seni dan Budaya serta Pembangunan Luar Bandar.
Dalam rombakan tersebut, Abu Bakar merupakan antara tiga ADUN yang dilantik sebagai Exco baharu bagi menggantikan dua Exco sedia ada yang digugurkan.
Pelantikan Abu Bakar sebagai Menteri Besar Perlis dibuat susulan peletakan jawatan Datuk Seri Mohd Shukri Ramli, yang juga ADUN Sanglang, pada 25 Disember lalu secara sukarela atas faktor kesihatan.
Pada tarikh yang sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis, Rus’sele Eizan, mengumumkan kekosongan luar jangka bagi kerusi DUN Chuping, DUN Bintong dan DUN Guar Sanji selaras dengan Fasal (1)(a)(ii) Perkara 50A Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis.
Kekosongan luar jangka tersebut berlaku selepas PAS pada 24 Disember mengumumkan keahlian tiga ADUN parti itu, iaitu Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji), telah terhenti berikutan tindakan mereka menarik sokongan terhadap Mohd Shukri.
Pada PRU15, Perikatan Nasional Perlis memenangi 14 daripada 15 kerusi DUN, dengan sembilan kerusi dimenangi oleh ADUN PAS dan lima oleh Bersatu, manakala Pakatan Harapan melalui PKR memenangi satu kerusi. - BERNAMA








