Adnex Group rancang perluasan operasi melalui IPO di Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Adnex Group rancang perluasan operasi melalui IPO di Pasaran ACE

Kredit gambar FACEBOOK/ADNEX
Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 4 Julai – Penyedia perkhidmatan hiasan dalaman, Adnex Group Bhd bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia bagi membiayai perluasan operasi, peningkatan prestasi dan bayaran balik pinjaman bank.

 

Hasil daripada tawaran awam permulaan (IPO) itu, syarikat juga merancang memperluas ibu pejabat serta membuka cawangan baharu di Malaysia, Filipina dan Indonesia bagi mengukuhkan kehadiran serantau.

 

Kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, IPO itu merangkumi terbitan awam sebanyak 90.5 juta saham baharu dan tawaran untuk jualan 39.5 juta saham sedia ada, melibatkan keseluruhan 26% pegangan dalam syarikat. 

 

Adnex kini sedang melaksanakan 15 projek aktif dengan nilai kontrak terkumpul RM44.53 juta yang dijangka siap secara progresif sehingga 2026.

 

Diasaskan oleh dua beradik, Pengarah Urusan, Kan Wai Chun dan Pengarah Eksekutif, Kan Wai Peng.

 

Untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, Adnex mencatat untung bersih RM6.39 juta dengan hasil jualan RM50.23 juta.

 

Daripada 90.5 juta saham baharu yang diterbitkan, sebanyak 25 juta diperuntukkan kepada orang awam Malaysia, 15 juta kepada pihak layak, manakala baki 50.5 juta ditawarkan kepada pelabur terpilih dan pelabur Bumiputera yang diluluskan.

 

Bagi tawaran jualan, Wai Chun akan mengurangkan pegangan kepada 55.5% daripada 75%, manakala pegangan Wai Peng kepada 18.5% daripada 25%.

 

Public Investment Bank bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi IPO berkenaan.- DagangNews.com