AAX dijangka kukuhkan kunci kira-kira FY26–27, keuntungan diunjur cecah RM1.5 bilion - HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AAX dijangka kukuhkan kunci kira-kira FY26–27, keuntungan diunjur cecah RM1.5 bilion - HLIB

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 23 Jan - AirAsia X Bhd (AAX) dijangka memperkukuh kedudukan kewangannya secara ketara sepanjang FY26 hingga FY27 disokong oleh pertumbuhan pendapatan dan penjanaan aliran tunai yang kukuh, walaupun memulakan tahun kewangan 2026 (FY26) dengan kunci kira-kira yang relatif lemah, kata Hong Leong Investment Bank (HLIB).

 

Firma penyelidikan itu berkata, prestasi kewangan AAX yang semakin mantap berpotensi membuka laluan kepada pengenalan dasar pembayaran dividen oleh kumpulan itu seawal 2029.

 

"Berdasarkan unjuran, dividen dianggarkan sekitar 9 hingga 11 sen sesaham, bersandarkan nisbah pembayaran antara 20% hingga 25%," kata HLIB dalam nota penyelidikan hari ini.

 

HLIB memulakan liputan ke atas AAX dengan saranan BELI dan harga sasaran (TP) RM3.35, berdasarkan penilaian 8x PE ke atas pendapatan terlaras FY26.

 

Menurut HLIB, dari segi prestasi kewangan, AAX diunjurkan mencatat keuntungan sekitar RM1.5 bilion bagi tempoh FY26–27, mencerminkan pemulihan yang kukuh pasca penstrukturan semula serta persekitaran industri penerbangan yang semakin menyokong.

 

Hasil penerbangan semakin stabil

Sejak tempoh pandemik, purata hasil industri penerbangan mengalami tekanan apabila syarikat penerbangan menambah kapasiti secara agresif bagi memenuhi lonjakan permintaan perjalanan susulan pembukaan semula sempadan dan pelaksanaan dasar kemasukan bebas visa bagi merangsang pemulihan ekonomi.

 

Bagaimanapun, dalam beberapa suku kebelakangan ini, trend tersebut menunjukkan tanda-tanda kestabilan.

 

Syarikat penerbangan kini mula melaporkan hasil yang lebih berdaya tahan, mencerminkan permintaan perjalanan udara yang kekal kukuh dalam keadaan kekangan penambahan kapasiti baharu.

 

Selari dengan perkembangan ini, Malaysia Airports Holdings Bhd dan Changi Airport Group masing-masing merekodkan pertumbuhan penumpang yang memberangsangkan pada 2025, dengan peningkatan tahun ke tahun sebanyak 11.2% dan 3.4%.

 

TMM2026 pemangkin utama permintaan

AAX dilihat berada pada kedudukan strategik untuk muncul sebagai antara penerima manfaat utama daripada kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

 

Data sebelum ini daripada Malaysia Airports dan AirAsia menunjukkan lonjakan ketara dalam permintaan perjalanan udara, khususnya bagi segmen antarabangsa, semasa kempen VM terdahulu pada 1990, 1994, 2007 dan 2014.

 

Dengan rangkaian sambungan dan kekerapan penerbangan yang luas ke dan dari hab Malaysia, AAX berada pada posisi terbaik untuk menangkap pertambahan permintaan ini.

 

Pada masa sama, TMM2026 turut dijangka merangsang perjalanan domestik, disokong oleh pelepasan cukai sehingga RM1,000 bagi perbelanjaan berkaitan pelancongan tempatan.

 

Kos bahan api dan mata wang beri kelebihan

Selain permintaan yang kukuh, AAX dijangka mendapat manfaat daripada penurunan harga bahan api jet serta pengukuhan nilai ringgit pada 2026.

 

Bahan api jet menyumbang kira-kira 30–40% daripada struktur kos kumpulan, manakala 60–70% daripada jumlah kos keseluruhan adalah dalam denominasi dolar Amerika Syarikat (AS$).

 

"Berdasarkan analisis sensitiviti, setiap pergerakan AS$1 dalam harga bahan api jet dianggarkan memberi kesan sekitar RM80 juta kepada keuntungan bersih AAX. Sementara itu, perubahan 10 sen dalam kadar pertukaran RM/AS$ dijangka memberi impak kira-kira RM280 juta kepada pendapatan.

 

Secara keseluruhan, gabungan pemulihan hasil yang stabil, pemangkin TMM2026, kos operasi yang semakin menyokong serta aliran tunai yang lebih kukuh dijangka menjadi asas utama kepada pengukuhan prestasi kewangan AAX dalam tempoh dua tahun akan datang. - DagangNews.com