KUALA LUMPUR 18 Jun - A1 AK Koh Group Bhd melancarkan tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia dengan sasaran untuk mengumpul dana sehingga RM27.3 juta.
IPO itu ditawarkan pada harga 25 sen bagi setiap saham untuk membantu syarikat mengembangkan perniagaan, terutama dalam produk sup pra-campur.
Permohonan ditutup pada 30 Jun 2025 dan A1 AK Koh dijangka disenaraikan di Bursa Malaysia pada 11 Julai 2025.
"Daripada hasil IPO, sebanyak RM5 juta akan digunakan untuk membina kilang baharu berhampiran kilang sedia ada, manakala RM1.8 juta untuk projek naik taraf kilang di Senai.
"Sebanyak RM8 juta pula akan digunakan untuk pemasaran, RM4 juta untuk modal kerja, RM4 juta bagi bayar pinjaman bank dan baki RM4.5 juta untuk kos penyenaraian," demikian menurut prospektus yang dikeluarkan hari ini.
Syarikat dijangka bernilai RM210 juta selepas disenaraikan, dengan harga IPO meletakkan nilai hampir 18 kali ganda daripada keuntungan terkini.
Untuk tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024, A1 AK Koh mencatat untung bersih RM11.88 juta dengan hasil jualan RM96.08 juta.
Selain itu, tawaran jualan akan menjana RM27.3 juta yang akan diterima sepenuhnya oleh A1 Koh Malaysia Sdn Bhd, iaitu syarikat milik pengasas Koh Ah Kuan, isterinya Lim Sok Huey dan empat anak mereka.
Selepas penyenaraian, keluarga Koh akan kekal memegang 74% saham dalam syarikat tersebut.
Ditubuhkan pada tahun 1986 dan berpusat di Johor, syarikat tersebut menghasilkan dan menjual lebih 340 jenis makanan dan minuman seperti snek, mi, perencah, makanan laut dalam tin dan minuman.
Ia juga menjalankan pengeluaran kontrak untuk jenama pihak ketiga.
Produk A1 AK Koh dibuat di dua kilang, satu di Senai dan satu lagi di Long An, Vietnam dan dieksport ke lebih 10 negara.
AmInvestment Bank bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi IPO berkenaan. - DagangNews.com








