KUALA LUMPUR 24 Dis – Sebanyak 62% saham pengguna di bawah liputan Maybank Investment Bank (Maybank IB) mencatat peningkatan skor alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) tahun ke tahun, mencerminkan tahap pematuhan dan pendedahan kelestarian yang semakin baik dalam sektor berkenaan.
Maybank IB berkata, daripada 13 saham pengguna yang dinilai, lapan saham mencatat peningkatan skor ESG, tiga kekal tidak berubah iaitu DXN Holdings Bhd, FFM Bhd dan SEM Bhd, manakala satu saham mencatat penurunan iaitu MN Holdings Bhd.
Tambahnya, satu lagi syarikat, Eco-Shop Marketing Bhd, menerima penilaian skor ESG sulung susulan permulaan liputan pada Julai 2025.
"Peningkatan skor ESG dalam kalangan kebanyakan syarikat pengguna didorong oleh penambahbaikan dalam parameter kuantitatif serta pendedahan data pelepasan karbon yang lebih terperinci, termasuk pelepasan Skop 1, Skop 2 dan Skop 3," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Menurut Maybank IB, antara syarikat yang mencatat peningkatan ketara termasuklah CAB Cakaran Corp Bhd, MR DIY Group (M) Bhd, QL Resources Bhd dan Lotte Chemical Titan Holding Bhd, yang telah memperkukuh pendedahan maklumat kelestarian dalam laporan tahunan masing-masing.
Bagi baki liputan, skor ESG MN Holdings Bhd menurun kepada 39 bagi tahun kewangan 2024 berbanding 50 sebelum ini, terutamanya disebabkan oleh pengurangan perwakilan pengarah bebas dan wanita dalam lembaga pengarah syarikat tersebut.
Maybank IB menambah, walaupun beberapa subsektor pengguna seperti pertanian mempunyai impak alam sekitar yang lebih tinggi, firma itu berpandangan setakat ini tiada bukti jelas yang menunjukkan skor ESG rendah memberi kesan ketara kepada prestasi harga saham.
Secara keseluruhan, katanya, tahap pematuhan ESG di peringkat sektor dilihat semakin bertambah baik, disokong oleh pendedahan kelestarian yang lebih tersusun dan trend kemajuan yang lebih konsisten.
Bagaimanapun, beberapa syarikat terpilih seperti Padini Holdings Bhd dan Lotte Chemical Titan Holding Bhd masih mempunyai jurang ketara dalam pendedahan data pelepasan karbon.
Maybank IB berkata, penambahbaikan dari segi ketelusan data dalam laporan tahunan akan datang berpotensi meningkatkan skor ESG syarikat-syarikat berkenaan.
Daripada keseluruhan 13 saham pengguna yang dinilai, lima saham iaitu Eco-Shop Marketing Bhd, Lotte Chemical Titan Holding Bhd, MN Holdings Bhd, Padini Holdings Bhd dan SEM Bhd mencatat skor ESG di bawah purata berdasarkan metodologi ESG proprietari yang digunakan. - DagangNews.com








