KUALA LUMPUR 2 Dis – Sektor penerbangan bakal melalui perubahan struktur besar dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, didorong lima trend utama melibatkan tenaga, teknologi, pengalaman pelanggan, infrastruktur dan peraturan.
Pengarah Urusan Kumpulan MAG, Datuk Kapten Izham Ismail, berkata peralihan tenaga dijangka menjadi pemangkin paling ketara dengan syarikat penerbangan beralih kepada Sustainable Aviation Fuel (SAF), selain lapangan terbang memperluas operasi hijau dan penggunaan pengangkutan darat rendah karbon.

“Industri kini bergerak ke arah tenaga yang lebih bersih. Ini bukan lagi pilihan, tetapi keperluan,” katanya dalam satu sesi taklimat terbaru MAG, lapor akhbar mingguan The Edge Weekly.
Menurutnya, kemajuan teknologi — khususnya kecerdasan buatan (AI) — akan membuka ruang baharu kepada kecekapan operasi dan pengurusan pelanggan.
Namun, beliau mengingatkan risiko keselamatan siber turut meningkat seiring penerapan teknologi baharu dalam sistem penerbangan.
Izham menjelaskan, harapan pengguna berubah drastik, dengan penumpang kini mahukan pengalaman perjalanan yang lebih lancar, tanpa mengira syarikat penerbangan penuh atau tambang rendah.
“Prestasi tepat masa, kebolehpercayaan teknikal, daftar masuk digital, antara muka tempahan dan pengurusan perjalanan berkumpulan – semuanya kini membentuk pengalaman pelanggan yang perlu disempurnakan syarikat penerbangan,” katanya.
Asia Pasifik bakal kuasai hampir separuh kapasiti global
Beliau turut mendedahkan Asia Pasifik kini merangkumi 32% kapasiti global, manakala ASEAN 7%. Dengan pesanan pesawat baharu yang agresif, bahagian itu dijangka meningkat kepada 48% untuk Asia Pasifik dan 12% untuk ASEAN.
Namun, pertumbuhan pesat ini turut menambah tekanan ke atas slot pendaratan, parkir pesawat, ruang udara dan tenaga kerja.
Bagi menangani kekangan tersebut, MAG sedang mengembang kapasiti pesawat badan lebarnya.
“Daripada terbang lima kali sehari ke Mumbai dengan Boeing 737 dan kemudian mahu naikkan kepada 10, syarikat penerbangan mungkin tidak dapat berbuat demikian kerana kesesakan lapangan terbang. Pesawat badan lebar adalah penyelesaian,” jelas Izham.
MAG merancang menggunakan pesawat badan sempit untuk bandar sekunder seperti Trivandrum, Ahmedabad, Chengdu dan Shenzhen, sementara pesawat badan lebar ditumpukan pada bandar utama di China, India dan Australia.
“Terdapat laluan seperti Manila yang kami mahu tambah kekerapan, dan di situlah pesawat badan sempit memainkan peranan,” katanya.
Pesanan baharu 737-10 lengkap kelas perniagaan ‘lie-flat’
MAG baru-baru ini menempah 30 pesawat 737, termasuk 12 unit 737-10 dengan tempat duduk kelas perniagaan ‘lie-flat’, sekali gus mengukuhkan penawaran premium kumpulan itu.
“Dengan 737-10, penumpang boleh menaiki penerbangan Mumbai–Kuala Lumpur dan menyambung ke Sydney melalui A330neo sambil menikmati pengalaman kelas perniagaan yang konsisten,” ujar Izham.
Dengan hala tuju industri yang semakin mencabar, MAG yakin strategi pengembangan armada dan fokus kepada pengalaman pelanggan akan memastikan Malaysia kekal sebagai hab penerbangan penting di rantau ini.








