16 Program Berimpak Tinggi diluluskan untuk manfaat masyarakat India – PMO | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

16 Program Berimpak Tinggi diluluskan untuk manfaat masyarakat India – PMO

KUALA LUMPUR 30 Julai - Sebanyak 16 program berimpak tinggi telah diluluskan untuk manfaat masyarakat India di negara ini melalui Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) setakat Julai tahun ini, menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO).

 

Menurut kenyataan PMO, kesemua program berkenaan memberi tumpuan kepada tiga bidang utama pembangunan masyarakat iaitu pendidikan dan latihan, kerohanian dan kebudayaan serta kesejahteraan sosial.

 

“Langkah ini mencerminkan tekad berterusan Kerajaan MADANI dalam mengangkat peranan masyarakat India sebagai rakan pembangunan negara menerusi pendekatan yang inklusif, progresif dan berteraskan impak menyeluruh,” menurut kenyataan itu.

 

Bagaimanapun, beberapa permohonan tidak dapat diluluskan termasuk program berkaitan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang bertindih serta berada di bawah bidang kuasa dan selenggaraan Majlis TVET Negara.

 

Turut tidak diluluskan ialah cadangan program yang bertindih dengan inisiatif sedia ada di bawah beberapa kementerian termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Kesihatan (KKM) serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

 

“Penyelarasan perlu dilakukan bagi mengelakkan pertindihan peranan dan penggunaan sumber,” menurut kenyataan itu.

 

PMO memaklumkan Kerajaan MADANI akan terus memperhalusi dan menilai pelaksanaan beberapa lagi inisiatif strategik dalam masa terdekat bagi memastikan masyarakat India terus menerima manfaat pembangunan yang adil, saksama dan mampan.

 

“Kerajaan teguh dengan prinsip bahawa setiap lapisan rakyat, termasuk komuniti India, berhak menikmati peluang dan kemajuan negara secara menyeluruh selaras dengan semangat Malaysia MADANI,” menurut kenyataan itu. - BERNAMA