KUALA LUMPUR 17 Jun - 10Star Cinemas, anak syarikat MAA Group Berhad, bakal membuka pawagam di Empire City, Lembah Klang menerusi kerjasama strategik dengan Hextar World.
Kerjasama itu dimeterai antara Pengerusi Eksekutif MAA Group Berhad, Tunku Datuk Yaacob Khyra, Ketua Pegawai Eksekutif 10Star Cinemas, Onn Norshal Hamzah dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Hextar, Datuk Eddie Ong.
Pawangan baharu yang dijangka mula beroperasi pada suku pertama 2026, menawarkan pengalaman premiumpada harga berpatutan dengan pendekatan mesra komuniti.
Ketua Pegawai Eksekutif 10Star Cinemas, Onn Norshal Hamzah berkata, mereka bukan hanya membuka pawagam baharu, sebaliknya membina pengalaman baharu.
"Kami bangga dapat membawa kemewahan mampu milik serta menyokong bakat baharu dan pembangunan industri filem tempatan di Lembah Klang.
"Pawagam ini bakal berfungsi sebagai ruang budaya bagi pembikinan filem tempatan dan antarabangsa, selari dengan visi syarikat untuk menjadikan pawagam Malaysia lebih terbuka dan inklusif," katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Hextar, Datuk Eddie Ong berkata, syarikat itu berteraskan penciptaan destinasi yang memberi inspirasi.
"Kehadiran 10Star Cinemas selari dengan misi kami untuk menyediakan pengalaman yang bermakna generasi akan datang," katanya.
Sejak ditubuhkan pada 2021, 10Star telah mengoperasikan enam cawangan di Malaysia Timur dan mengukuhkan kedudukan sebagai simbol hiburan komuniti masa kini.
Hextar World komited mencipta pengalaman untuk generasi baharu yang menggalakkan kreativiti dan mengukuhkan hubungan komuniti, manakala kerjasama bersama 10Star Cinemas dijangka dapat memperkukuh visi itu menerusi konsep pawagam yang berimpak tinggi.
Syarikat itu juga komited membawa pawagam ke kawasan luar bandar, memperkasa bakat muda dalam bidang perfileman serta membina industri kandungan tempatan yang kukuh dan berdaya saing
Kini, 10Star akan mencipta pengalaman pawagam berbeza dari segi konsep dan reka bentuk untuk memenuhi jangkaan penonton.- DagangNews.com








