Terbitan Sukuk Wakalah pertama UDA catat langganan lebih RM500 JUTA | DagangNews Skip to main content

Terbitan Sukuk Wakalah pertama UDA catat langganan lebih RM500 JUTA

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 27 Jun - Terbitan Sukuk Wakalah pertama UDA Holdings Berhad (UDA) telah mencatat langganan bernilai RM525 juta.

 

Terbitan yang dilanggan sepenuhnya oleh pelabur tempatan itu adalah dalam bentuk Kertas Kerja Komersial Islam (ICP) dan Nota Kewangan Jangka Sederhana Islam (IMTN).

 

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick berkata kejayaan tersebut membuktikan keyakinan pelabur tempatan di atas keupayaan UDA terus kekal relevan dan memainkan peranannya dalam pembangunan ekonomi negara.

 

“Pada tahun ini, nilai projek pelancaran baharu pembangunan UDA dianggarkan sebanyak RM1.3 bilion dan semua hartanah tersebut dibangunkan di kawasan strategik seluruh negara serta kawasan yang dikenal pasti akan meningkatkan nilai hartanahnya pada masa depan.

 

“Saya juga ingin menyarankan UDA untuk meneroka potensi pembangunan ruang niaga di Sabah bagi membolehkan lebih ramai usahawan kecil dan sederhana mendapat faedah daripada penerbitan sukuk tersebut,” ujar beliau dalam satu kenyataan media hari ini.

 

Menurut UDA, pelancaran projek tahun ini telah dilakukan beberapa lokasi iaitu di Johor, Pulau Pinang, Kedah, Kuala Lumpur, Selangor, Sarawak, Pahang dan Terengganu.

 

Sementara itu, Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Datuk Mohd. Salem Kailany berkata dana yang dikumpul akan digunakan untuk membayar semula pembiayaan sedia ada, membiayai projek pembangunan komersial, perumahan, perindustrian, pembangunan projek wakaf serta modal kerja.

 

 

Datuk Mohd. Salem Kailany
Datuk Mohd. Salem Kailany

 

 

Tambah beliau, dana tersebut juga akan meletakkan UDA di landasan tepat untuk memastikan agenda pembangunan yang dirancang dapat dijalankan mengikut strategi yang telah ditetapkan.

 

“UDA kini mempunyai jumlah aset bernilai RM3.7 bilion dan turut memegang rizab tanah seluas 410 hektar dengan taksiran harga pasaran RM2.6 bilion. Hasil daripada penerbitan sukuk ini dan juga perancangan strategik yang telah digariskan, UDA mampu untuk terus komited menjadi peneraju utama dalam sektor pembangunan hartanah negara,” tambah beliau.

 

Menurut Salem, inisiatif tersebut seiring dengan penjenamaan UDA iaitu ‘L.I.F.E.’ yang menekankan kepada ciri-ciri legasi, integrasi, ketelitian dan memperkasa, seterusnya bergerak ke arah kelestarian.

 

Ia juga diharap dapat menyumbang ke arah kesejahteraan masyarakat bertepatan dengan nilai Malaysia Madani, tambahnya. - DagangNews.com