Teladan, Melaka Corp bekerjasama bangunkan taman teknologi Jerman seluas 138 hektar di Jasin | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Teladan, Melaka Corp bekerjasama bangunkan taman teknologi Jerman seluas 138 hektar di Jasin

Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Corp, Datuk Mohd Yusof Abu Bakar (duduk keempat dari kiri) dan Pengarah Urusan Teladan, Richard Teo Lay Ban (duduk kedua dari kiri) telah memeterai MoU sambil disaksikan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (berdiri di tengah), Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Zaidi Johari (berdiri di sebelah kiri), serta Duta Besar Republik Persekutuan Jerman, Dr. Peter Blomeyer (berdiri di sebelah kanan).
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 22 Mac - Teladan Group Berhad menerusi anak syarikatnya, Riverwell Resources Sdn Bhd (RRSB) menjalin kerjasama dengan Melaka Corporation (MCorp), agensi pembangunan Kerajaan Negeri Melaka, untuk membangunkan Taman Teknologi Jerman seluas 138 hektar di Jasin, Melaka.

 

Projek tersebut menyasarkan untuk menarik pelaburan Jerman ke negeri Melaka dan mengukuhkan hubungan ekonomi Malaysia dan Jerman.

 

Teladan dalam satu kenyataan media hari ini berkata, projek terbabit merangkumi pelbagai pembangunan perindustrian, termasuk lot banglo perindustrian, kilang berkembar, pejabat kedai, dan kuarters buruh berpusat.

 

Di bawah memorandum persefahaman (MoU), kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam kajian kebolehlaksanaan dan perancangan pembangunan projek  dengan memanfaatkan kepakaran pembinaan Teladan dan simpanan tanahnya yang terletak di sepanjang Jalan Gapam. Sehubungan itu, MCorp akan mengetuai pembangunan dan penjualan projek tersebut.

 

Pengarah Urusan Teladan, Richard Teo Lay Ban berkata, pihaknya yakin dengan keupayaan syarikat untuk menjayakan projek berkenaan, yang disokong oleh rekod prestasi kumpulan dalam pembinaan kediaman, komersial dan perindustrian dengan nilai pembangunan kasar (GDV) lebih RM2.9 bilion. 

 

“Kami optimis terhadap trajektori ekonomi Melaka, didorong oleh fokus Bajet 2024 dalam meningkatkan daya saing Melaka, di samping komitmen kerajaan untuk meletakkan negeri ini sebagai hab pelancongan global, serta pusat perdagangan dan pelaburan,” katanya dalam kenyataan tersebut.

 

Sementara itu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusof menekankan bahawa kerjasama tersebut mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan di rantau ASEAN dan mengeratkan hubungan ekonomi dengan Jerman. 

 

Dengan memanfaatkan lokasi strategik Malaysia di Asia Tenggara dan infrastrukturnya yang teguh, Ab Rauf berkata Melaka menyasarkan untuk memacu industri, perniagaan dan perdagangan negeri ke hadapan. 
“Projek ini merupakan satu langkah penting untuk memajukan aktiviti perdagangan antarabangsa, mewujudkan peluang pekerjaan dan meluaskan akses pasaran negara,” tambahnya.

 

Menurut kenyataan tersebut, Jerman masih lagi rakan dagangan utama Malaysia dalam Kesatuan Eropah, manakala Malaysia kini rakan dagang terbesar Jerman di Asia Tenggara. 

 

Malaysia terus menjadi destinasi menarik untuk pelaburan langsung asing (FDI) dengan syarikat Jerman melabur EU€8.5 bilion (RM43.61 bilion) setakat 2023. - DagangNews.com