Teknologi VR mudahkan pengurusan alam sekitar - Zaini Ujang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Teknologi VR mudahkan pengurusan alam sekitar - Zaini Ujang

KUALA LUMPUR 27 Mac - Penggunaan teknologi realiti maya (VR) mampu memudahkan pengurusan alam sekitar termasuk sumber air selain meningkatkan kefahaman dan komitmen masyarakat terhadap usaha pelestarian alam sekitar.

 

Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang berkata, penggunaan teknologi digital seperti VR juga membantu masyarakat mengetahui dengan lebih mendalam mengenai isu alam sekitar dan tanggungjawab setiap individu, organisasi serta institusi dalam usaha melestarikan sumber air.

 

Katanya, VR adalah kaedah pengintegrasian elemen digital untuk menyediakan maklumat secara lebih menarik dan mudah difahami ke arah meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan alam sekitar khususnya sumber air.

 

 

Zaini Ujang
Zaini Ujang

 

 

“Teknologi VR ini dibangunkan dengan usaha sama penyelidik Universiti Teknologi Malaysia dengan kerjasama syarikat tempatan Teras Berkat (M) Sdn Bhd sejak 2019 dan setakat ini, terdapat 3 modul VR pelestarian alam sekitar dibangunkan iaitu air, sungai dan perubahan iklim.

 

“Sistem bersepadu pengurusan sumber air menggunakan teknologi VR ini turut dipamerkan pada pameran Jabatan Pengairan dan Saliran sempena sambutan Hari Air Sedunia 2022 di Pahang,” menurutnya dalam kenyataan seperti dilapor Bernama.

 

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyempurnakan majlis perasmian Hari Air Sedunia 2022 Peringkat Kebangsaan di Taman Awam Bera, Pahang.

 

Pada majlis itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan juga mengkaji semula Dasar Sumber Air Negara dengan mengambil kira situasi dan cabaran yang dihadapi sektor air negara dan ia akan disesuaikan dengan pelan Transformasi Sektor Air 2040 dan rancangan pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12. - DagangNews.com