KUALA LUMPUR 7 Mac - Maybank Investment Bank (IB) Research mengurangkan unjuran pendapatan Padini Holdings Bhd. sebanyak 7% pada tahun kewangan 2022 (FY22) diikuti 9% bagi FY23.
Ini berikutan penguncupan margin yang mungkin berlaku disebabkan ketidakupayaan kumpulan untuk mengimbangi kenaikan kos pengeluaran dengan produk campuran yang lebih baik pada masa akan datang.
Bagaimanapun, firma itu masih mengekalkan saranan 'beli' terhadap Padini, dengan harga sasaran disemak lebih rendah pada RM4.10 berbanding RM4.25 sebelum itu.
"Kami menjangkakan Padini akan mendapat manfaat daripada perbelanjaan pengguna yang semakin meningkat dalam suku berturut-turut dengan pengguna secara beransur-ansur kembali kepada rutin sebelum pandemik.
"Ini juga memandangkan langkah penutupan negara tidak mungkin berulang kerana kadar vaksinasi yang tinggi," katanya dalam nota kajian hari ini.
Pada suku kedua berakhir 31 Disember 2021, Padini merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM60.89 juta, 6 kali lebih tinggi berbanding RM10.65 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya, didorong pembukaan semula ekonomi selepas pelancaran vaksin pada tahun lalu.
Ia menyaksikan pendapatan pada suku tersebut meningkat 73.68% kepada RM427.17 juta berbanding RM245.96 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Bagi tempoh 6 bulan berakhir 31 Disember 2021, untung bersihnya meningkat kepada RM44.03 juta daripada RM31.37 juta bagi tempoh sama sebelum ini, di sebalik penurunan pendapatan kepada RM508.56 juta daripada RM556.68 juta disebabkan sekatan pergerakan antara Jun hingga Ogos 2021.
Menurut Maybank IB, pengurusan Padini sebelum ini memaklumkan tekanan kos (daripada kos bahan dan pengangkutan) dijangka memberi impak besar terhadap pendapatannya bagi FY22 (berakhir 30 Jun 2022) apabila ia meningkat kira-kira 5 hingga 10% tahun ke tahun.
"Bagi mengurangkan tekanan ini, kumpulan memperkenalkan beberapa pelancaran produk baharu yang akan menyaksikan semakan semula harga bagi mengimbangi kos pengeluaran yang tinggi.
"Pada masa sama, Padini juga berdepan masalah kekurangan tenaga kerja di kedai jualannya (ketika ini kekurangan 10% kakitangan) yang boleh menjejaskan usaha pemulihan jualannya," jelasnya.
Bagaimanapun, firma itu menjangkakan pertumbuhan jualan kasarnya meningkat pada separuh kedua 2022 dipacu operasi kedai yang kembali normal dan kehadiran pengunjung ke pusat beli-belah.
Setakat 11.19 pagi ini, harga saham Padini susut 9 sen atau 2.73% kepada RM3.21 dengan 115,200 saham diniagakan. - DagangNews.com








